Tangguh Sukma 2026: KBS dapatkan pandangan kerajaan Selangor

Tangguh Sukma 2026: KBS dapatkan pandangan kerajaan Selangor

Menterinya Dr Taufiq Johari berkata langkah itu bagi junjung titah Sultan Selangor berhubung kewajaran tangguh temasya itu.

taufiq johari
Menteri Belia dan Sukan Dr Taufiq Johari berkata mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 akan diadakan bagi membincangkan perkara itu secara terperinci. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mendapatkan pandangan kerajaan Selangor susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kewajaran menangguhkan Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di negeri itu.

Menteri Belia dan Sukan Dr Taufiq Johari berkata langkah itu bagi menjunjung titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-15 hari ini.

“Ini merupakan amanat Tuanku Sultan Selangor atas keprihatinan baginda terhadap krisis tenaga global yang sedang berlaku dan kesannya terhadap ekonomi negara, di samping mengambil kira keperluan untuk menunggu Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

“Sehubungan itu, saya akan mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada kerajaan Selangor selaku tuan rumah berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma 2026 akan diadakan bagi membincangkan perkara itu secara terperinci yang dianggotai oleh semua negeri, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah penganjuran Sukma Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Sukma Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos.

Kerajaan Selangor hari ini turut memaklumkan bakal mempertimbangkan pandangan semua Adun dalam persidangan DUN berhubung titah Sultan Sharafuddin itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.