Jangan tangguh projek tebatan banjir RM150 juta di Kuching, gesa Ahli Parlimen

Jangan tangguh projek tebatan banjir RM150 juta di Kuching, gesa Ahli Parlimen

Pembinaan projek itu yang sepatutnya dimulakan pada 2021 mungkin hanya akan bermula awal tahun depan.

Kelewatan projek tebatan banjir Kuching menyusahkan rakyat dan menyebabkan kerosakan harta benda, kata Dr Kelvin Yii. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menggesa kerajaan persekutuan dan Sarawak mengambil langkah segera bagi memastikan tiada lagi kelewatan projek tebatan banjir bernilai RM150 juta di bandar itu.

Ketua Pemuda DAP itu berkata, kelewatan terbabit menyusahkan rakyat dan menyebabkan kerosakan harta benda, terutama selepas banjir kilat yang melanda pelbagai kawasan di ibu negeri, termasuk Hospital Umum Sarawak baru-baru ini.

Projek yang dikenali sebagai Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak itu meliputi sembilan lokasi dan termasuk menaik taraf perparitan di lima lokasi.

Dalam kenyataan hari ini, Yii berkata, pembiayaan persekutuan bagi projek itu dikeluarkan pada akhir 2018 selepas semakan awal seperti yang diumumkan oleh menteri air, tanah dan sumber asli ketika itu, Dr Xavier Jayakumar.

Katanya, perancangan projek, tender dan pelantikan kontraktor sepatutnya dimuktamadkan pada November 2019, dengan proses reka bentuk terperinci termasuk pengambilan tanah dan siasatan yang dijalankan dari Disember 2019 hingga Disember 2020.

Pembinaan fizikal projek itu sepatutnya dimulakan pada 2021 dan mengambil masa empat tahun, tambahnya.

Bagaimanapun, Yii berkata, Jabatan Saliran dan Pengairan Sarawak hanya mendapat kelulusan bagi sembilan lokasi projek daripada Lembaga Perancang Negeri pada Disember lepas.

Walaupun semua projek telah siap proses reka bentuk terperinci, selain dokumen tender disediakan, ia sepatutnya disiapkan pada 2020.

“Kini, pembinaan fizikal hanya dijadual dimulakan paling awal pada awal tahun depan, dan dijangka mengambil masa sehingga empat tahun untuk disiapkan,” katanya.

“Agensi kerajaan yang berkaitan harus mempercepat kelulusan yang diperlukan supaya proses tender dan pembinaan projek dapat dimulakan secepat mungkin.

“Kelewatan sebegitu tidak boleh diterima kerana ia membebankan orang ramai, terutamanya semasa musim tengkujuh,” kata Yii.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.