Kes ugut bunuh Radja, suspek didakwa esok

Kes ugut bunuh Radja, suspek didakwa esok

Polis menahan seorang warga tempatan berusia 37 tahun dan warga asing berusia 48 tahun kira-kira 3.30 petang Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang daripada dua lelaki yang ditahan dalam kes ugutan jenayah terhadap kumpulan muzik Indonesia, Radja akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor hari ini yang mengarahkan seorang daripada suspek itu didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Sekiranya disabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak gusar dan membuat spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat kerana siasatan telus tanpa kompromi dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.

Terdahulu, pengurus Radja membuat laporan polis pada awal pagi Ahad lalu dengan mendakwa artisnya menerima ugutan bunuh dan kata-kata kesat selepas konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin kira-kira 11.15 malam Sabtu lalu, dipercayai akibat salah faham kumpulan itu dengan penganjur.

Susulan itu, polis menahan seorang warga tempatan berusia 37 tahun dan warga asing berusia 48 tahun di perkarangan IPD Johor Bahru Selatan kira-kira 3.30 petang Ahad lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.