Pegawai kanan polis disyaki terima rasuah lindung pusat hiburan direman

Pegawai kanan polis disyaki terima rasuah lindung pusat hiburan direman

Suspek disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM64,000 untuk melindungi kegiatan pusat hiburan tidak sah di Pahang.

handcuff
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2020 hingga 2023 dan dipercayai menerima rasuah secara bulanan, kata sumber SPRM. (Gambar Freepik)
KUANTAN:
Seorang pegawai kanan polis direman lima hari hingga 2 Mei ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM64,000 sebagai balasan melindungi kegiatan pusat hiburan tidak sah di sebuah daerah di Pahang.

Perintah reman terhadap suspek lelaki itu dikeluarkan Majistret Ellyna Mahussin selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.

Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 2 petang semalam di kediamannya.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2020 hingga 2023 ketika bertugas di satu daripada daerah di negeri ini.

“Suspek dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan daripada dua pemilik pusat hiburan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.