Pengasuh ditahan susulan kematian bayi

Pengasuh ditahan susulan kematian bayi

Sepasang suami isteri sebelum itu dilaporkan menuntut kebenaran selepas bayi mereka meninggal dunia akibat tidak sedarkan diri di rumah pengasuh.

Ketua Polis Arau Ahmad Mohsin Md Rodi berkata suspek berusia 35 tahun ditahan pada 16 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan penahanan seorang pengasuh wanita bagi membantu siasatan kes kematian bayi perempuan berusia lapan bulan akibat pendarahan otak, dalam kejadian 15 April lalu.

Ketua Polis Arau, Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata suspek berusia 35 tahun ditahan pada hari berikutnya namun dilepaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

“Suspek ditangkap lebih kurang 2.30 petang bagi membantu siasatan kemudian diberi jaminan polis pada tarikh tangkapan sehingga 16 Jun depan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

Terdahulu, sepasang suami isteri dilaporkan menuntut kebenaran selepas bayi perempuan mereka berusia lapan bulan meninggal dunia selepas dikatakan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya.

Ibu mangsa, Aisyawati Isa, 34, berkata, sehingga kini, dia dan suami, Mohamad Zaer Wafar Che Mat Zaidin, 34, masih mencari jawapan di sebalik kejadian yang menimpa anak kedua mereka, Aufa Zayyana.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 3.08 petang, 22 April lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Sementara itu, Ahmad Mohsin berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pakar Patologi Forensik HSB pada 23 April mendapati kecederaan mangsa adalah disebabkan trauma daya tumpul pada bahagian kepala.

“Penentuan umur pendarahan subdura akan ditentukan melalui ujian histopatologi yang dijangka mengambil masa beberapa minggu.

“Siasatan mendapati mangsa dijaga pengasuh terbabit sejak 11 Februari lalu dan sebelum itu ibu mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada hidung serta dahi anaknya pada 7 April,” katanya.

Beliau berkata pengasuh mendakwa mangsa terjauh dan terkena rak televisyen selepas dipegang anaknya berusia enam tahun namun ibu mangsa tidak meruju anaknya ke klinik kerana bayinya masih kelihatan sihat dan aktif.

“Keadaan bagaimanapun berubah pada 15 April lalu apabila pengasuh menghubungi ibu mangsa pada 5.16 petang memaklumkan bayi berkenaan lesu dan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah.

“Ibu mangsa yang bergegas ke rumah pengasuh mendapati anaknya dalam keadaan kekejangan sebelum segera membawanya ke Klinik Kesihatan Arau dan dirujuk ke HTF Kangar serta HSB untuk pembedahan kecemasan.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.