Pastikan petugas perubatan tak terlebih kerja lepas lanjut waktu operasi, kata MMA

Pastikan petugas perubatan tak terlebih kerja lepas lanjut waktu operasi, kata MMA

Persatuan Perubatan Malaysia berkata kesesakan di kemudahan kesihatan awam memerlukan lebih daripada penyelesaian 'segera'.

Kementerian Kesihatan berkata waktu operasi 52 klinik kerajaan di seluruh negara dilanjutkan bagi mengurangkan kesesakan di jabatan kecemasan hospital. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memastikan tenaga kerjanya mencukupi susulan keputusan melanjutkan waktu operasi di klinik kesihatan kerajaan terpilih, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Katanya, tenaga kerja tidak mencukupi akan menyebabkan kakitangan kesihatan terlebih kerja.

“Doktor, jururawat dan kakitangan sokongan mencukupi penting untuk kejayaannya,” kata Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai dalam kenyataan menyambut baik keputusan melanjutkan waktu operasi beberapa klinik kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan perlu mencari penyelesaian mampan jangka sederhana dan panjang kerana lanjutan waktu operasi hanya “penyelesaian segera” terhadap masalah kesesakan di kemudahan kesihatan awam.

“Antara penyelesaiannya ialah penyumberan luar kes tidak kritikal ke klinik swasta yang dirancang kerajaan di bawah Skim Perubatan Madani.”

Katanya, lanjutan waktu operasi di klinik terbabit bukan hanya memberi peluang kepada bekas doktor kerajaan meraih pendapatan, malah doktor swasta juga boleh memperoleh pendapatan tambahan.

“Terdapat kira-kira 4,000 klinik swasta baharu dalam negara dan sesetengah klinik ini ditubuhkan serta dikendalikan doktor muda yang dahulunya doktor kontrak dalam sistem,” katanya sambil menambah kebanyakannya akan menutup klinik mereka lebih awal.

Sabtu lalu, KKM mengumumkan lanjutan waktu operasi di 52 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara bagi mengurangkan kesesakan di jabatan kecemasan hospital.

Waktu operasi klinik kesihatan di Lembah Klang dilanjutkan dari 5 petang hingga 9.30 malam pada Isnin hingga Jumaat. Ia akan dibuka mulai 8 pagi hingga tengah hari pada Sabtu.

Di Kedah, Kelantan dan Johor, waktu operasi klinik kesihatan dilanjutkan dari 5 petang hingga 9.30 malam pada Ahad hingga Khamis. Ia dibuka mulai 8 pagi hingga tengah hari pada Sabtu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa turut menggesa doktor swasta dan kontrak mengambil bahagian dalam inisiatif lanjutan waktu operasi di beberapa klinik kesihatan bagi memastikan kejayaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.