
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Muhyiddin didakwa menerima dana RM5 juta hasil kegiatan haram daripada sebuah syarikat di cawangan AmBank Amcorp Mall pada 7 Jan 2022, yang disalurkan ke akaun Bersatu.
Tuduhan tersebut dirangka mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda minimum RM5 juta jika sabit kesalahan.
Ini tuduhan ketujuh terhadap Muhyiddin. Pada Jumaat, beliau meminta dibicarakan atas empat tuduhan meminta rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Rozilah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes ini ke mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan tiada jaminan tambahan dikenakan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Fadhly Zamry, Zander Lim Wai Keong, A Kalaivani, dan Maziah Mohaide.
Muhyiddin diwakili K Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Saleh Garbaa, Isa Basir, Shahir Ab Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi, dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.
Hakim menetapkan 26 Mei depan untuk sebutan kes.