Kerajaan dicadang naikkan elaun Cola penjawat awam

Kerajaan dicadang naikkan elaun Cola penjawat awam

Buat masa ini jumlah elaun Cola ditetapkan ialah RM300, RM250 dan RM150 tertakluk kepada lokasi penempatan.

Kali terakhir elaun bantuan sara hidup (Cola) penjawat awam dinaikkan pada 2020 iaitu RM50 dengan peruntukan tambahan RM350 juta setahun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan dicadang menaikkan elaun bantuan sara hidup (Cola) secara bersasar dalam usaha membantu meringankan beban kos sara hidup penjawat awam.

Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, dalam pengumuman Belanjawan 2023 diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bulan lalu, elaun itu masih berada pada kadar sama.

“Saya cadangkan kenaikan Cola bagi penjawat awam dan selaraskan secara berkala untuk meringankan kenaikan kos sara hidup bagi penjawat awam terutama mereka yang tinggal di bandar yang mempunyai kos sara hidup tinggi seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya,” ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Kali terakhir elaun Cola dinaikkan pada 2020 iaitu RM50 dengan peruntukan tambahan RM350 juta setahun.

Buat masa ini jumlah elaun Cola ditetapkan ialah RM300, RM250, dan RM150 tertakluk kepada lokasi penempatan.

Selain itu, Radzi berkata ketika ini terdapat keperluan mendesak supaya kerajaan menyediakan peruntukan membaik pulih kuarters penjawat awam di Putrajaya.

“Demi menjamin keselesaan penjawat awam menduduki kuarters, saya ingin usulkan kerajaan sediakan peruntukan khas di seluruh negara sekurang-kurangnya RM2.5 bilion setahun untuk tempoh 2023 hingga 2025 seperti tawaran PN (Perikatan Nasional) dalam PRU15,” katanya.

Sementara itu, Radzi juga mencadangkan kerajaan menyediakan peruntukan membaik pulih kemudahan awam dan infrastruktur di Putrajaya yang mesra warga emas serta golongan orang kurang upaya (OKU).

“Banyak infrastruktur dan kemudahan awam dalam keadaan uzur. Saya mencadangkan kerajaan sediakan peruntukan ‘one-off’ bagi selenggara kemudahan di Putrajaya.

“Ia perlu juga meliputi kemudahan untuk warga emas dan OKU, kerajaan perlu ambil kira keadaan semasa dan negara menua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.