PAS, Bersatu P Pinang tanding 15 kerusi DUN

PAS, Bersatu P Pinang tanding 15 kerusi DUN

Baki 25 kerusi lagi masih dibincangkan dan akan dimuktamadkan sebelum pembubaran DUN, kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff.

PAS dan Bersatu Pulau Pinang telah mencapai kata sepakat untuk bertanding di 15 kerusi DUN pada pilihan raya negeri nanti, kata Muhammad Fauzi Yusoff.
KEPALA BATAS:
PAS dan Bersatu Pulau Pinang setakat ini telah mencapai persefahaman dalam soal pembahagian 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang mempunyai lebih 50% pengundi Melayu, pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff, bagaimanapun berkata baki 25 lagi kerusi DUN di negeri ini masih di peringkat perbincangan dengan Gerakan serta Bersatu dan ia akan dimuktamadkan sebelum pembubaran DUN Pulau Pinang.

“Lima belas kerusi itu adalah untuk PAS dan Bersatu, berapa yang kami (PAS) akan bertanding itu kita akan umumkan nanti.

“Apa yang kita bincangkan dan capai persefahaman ini juga telah diketahui pucuk pimpinan atasan, tiada masalah berhubung pembahagian kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Gelombang Hijau Pulau Pinang di Markas PAS Pongsu Seribu, di sini malam tadi.

Muhammad Fauzi berkata PAS juga bersedia memberi laluan kepada calon Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) untuk baki 25 lagi kerusi tersebut dan pihaknya percaya Gerakan serta Bersatu juga mempunyai cadangan mereka untuk kerusi berkenaan.

PAS bersama Gerakan dan Bersatu juga membincangkan mengenai kerusi campuran dan juga kerusi strategik yang bakal ditumpukan dalam PRN akan datang ini.

Selain itu, katanya parti berkenaan juga telah mempunyai senarai calon yang akan bertanding pada PRN nanti dan ia merangkumi golongan muda dan tua termasuk muka baharu serta muslimat.

Katanya, semua nama calon-calon PAS itu dikemukakan oleh kawasan masing-masing kepada PAS Pulau Pinang dan seterusnya keputusan akhir calon akan ditentukan Majlis Syura Ulamak PAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.