
Sinar Harian melaporkan, mangsa dikenali sebagai Rahmaniyah, 33, disahkan meninggal dunia akibat melecur dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu.
Seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga ahli keluarganya turut melecur namun dilaporkan selamat.
Kejadian dipercayai membabitkan 27 mangsa daripada lapan keluarga dan kebanyakan mereka menyewa rumah berkenaan.
Menceritakan kejadian itu, seorang penduduk, Laie Sawang, 48, berkata ia berlaku ketika mereka sekeluarga sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dipercayai letupan gas dapur dari rumah jirannya.
“Kami tidak dapat selamatkan apa-apa barangan dan tinggal sehelai sepinggang kerana hanya fikir untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Dia yang bekerja di kilang perabot dan sudah menyewa selama 20 tahun di kawasan itu tidak menyangka rumah didiami musnah sekelip mata namun bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.
“Bagaimanapun kami sedih dengan nasib malang menimpa Rahmaniyah atau lebih dikenali penduduk setempat sebagai Suriz yang melecur dan dikejarkan ke hospital sebelum meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Sarhan Akmal Mohamad, berkata pihaknya menghantar dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Pasir Gudang dan Johor Jaya dengan kekuatan 17 anggota ke tempat kejadian.
“Kebakaran membabitkan rumah jenis separuh kekal. Pada awalnya, dua-dua mangsa melecur itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru akibat melecur untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.