MPT Bersatu belum putus sama ada Muhyiddin kekal presiden

MPT Bersatu belum putus sama ada Muhyiddin kekal presiden

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata mesyuarat MPT akan diadakan di Taman Melewar petang ini.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR:
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu belum memutuskan lagi sama ada Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai presiden parti, kata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Bagaimanapun katanya, mesyuarat MPT akan diadakan di Taman Melewar petang ini.

“Setakat ini belum lagi (bincang jawatan presiden). Tetapi petang ini akan diadakan mesyuarat MPT selepas mesyuarat Pemuda Bersatu kira-kira pada 6.30 petang di Taman Melewar.

“Jadi media boleh bertanya kepada pimpinan selepas mesyuarat itu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ke-4, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada MPT sudah memutuskan mengenai kedudukan Muhyiddin sebagai presiden Bersatu susulan dakwaan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Muhyiddin semalam mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan salah guna kuasa berkait program Jana Wibawa, mendapatkan RM232.5 juta untuk partinya, Bersatu, serta dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM195 juta.

Dalam pada itu, Wan Fayhsal berpandangan Muhyiddin wajar terus menjadi presiden Bersatu kerana percaya pertuduhan yang dikenakan itu bermotifkan politik.

Katanya, beliau juga akan menunggu perbincangan antara kalangan pimpinan MPT hari ini mengenai kedudukan Muhyiddin.

“Saya fikir dia harus kekal kerana kita percaya ini adalah penganiayaan politik.

“Saya percaya, kami (pimpinan Bersatu) akan memastikan Muhyiddin kekal sebagai presiden,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.