Keputusan pecat Hamzah bukan dibuat tergesa-gesa, kata ahli MPT

Keputusan pecat Hamzah bukan dibuat tergesa-gesa, kata ahli MPT

Razali Idris tegaskan pemecatan timbalan presiden Bersatu dilakukan secara berhemah, ikut perlembagaan parti.

razali idris
Ahli MPT Bersatu Razali Idris berkata, perebutan kuasa antara Hamzah Zainudin dan Muhyiddin Yassin berpunca daripada ketidaksabaran bekas timbalan presiden itu ambil alih kepimpinan.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Razali Idris menafikan khabar angin bahawa pemecatan Hamzah Zainudin daripada parti merupakan keputusan tergesa-gesa.

Razali yang juga ketua Bersatu Terengganu menegaskan, pemecatan timbalan presiden itu dilakukan secara berhemah dan mengikut perlembagaan parti.

“Pemecatan Hamzah dilakukan bukan secara tergesa-gesa, sebaliknya siasatan serta peluang membela diri sudah diberikan Lembaga Disiplin parti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Badan Pimpinan Bersatu negeri di Kuala Terengganu hari ini, lapor Berita Harian.

Sebelum ini, pada Sabtu, Noh Omar ketika mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli MPT berkata Lembaga Disiplin meneruskan proses disiplin meskipun majlis memutuskan semua tindakan terhadap ahli Bersatu ditangguhkan.

Hamzah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti susulan aduan bahawa beliau cuba mensabotaj perhimpunan agung tahunan parti 2025 dan telah menjejaskan kepimpinan.

Beliau bagaimanapun tidak dapat menghadiri prosiding Lembaga Disiplin pada Khamis kerana berada di Sydney, Australia.

Setiausaha sulit Hamzah Ahmad Ikhwan Fadhli berkata, beliau sudah berada di luar negara ketika menerima notis pada 7 Feb dan segera memaklumkan lembaga tersebut bahawa beliau tidak dapat hadir.

Notis bertarikh 6 Feb menyatakan ini merupakan panggilan kedua, susulan panggilan kali pertama yang dikeluarkan pada Oktober tahun lepas.

Hamzah sebelum ini menggambarkan bahawa beliau tidak berhasrat merayu keputusan pemecatan itu.

Razali turut berkata, perebutan kuasa antara Hamzah dan presiden parti Muhyiddin Yassin berpunca daripada ketidaksabaran Hamzah untuk mengambil alih kepimpinan parti.

Tambahnya, Hamzah sepatutnya bersabar dan menunggu perhimpunan agung tahunan parti yang dijangka diadakan tahun depan untuk merebut jawatan tertinggi itu.

Kuasa bubar cawangan, bahagian

Mengulas mengenai pembubaran beberapa bahagian Bersatu susulan pemecatan Hamzah dan pemimpin lain, Razali berkata, ketua bahagian dan cawangan tidak mempunyai kuasa mutlak untuk membubarkannya.

Berdasarkan perlembagaan, katanya, hanya Majlis Tertinggi parti mempunyai kuasa membubar.

Dilaporkan semalam, Bersatu Lembah Pantai dan Larut mengumumkan pembubaran berkuat kuasa serta-merta, memetik kehilangan keyakinan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.