Johor masih catat mangsa banjir tertinggi

Johor masih catat mangsa banjir tertinggi

Seramai 44,937 mangsa daripada 12,730 keluarga ditempatkan di 172 PPS di lima daerah di negeri itu.

Jumlah mangsa banjir di Johor masih tinggi dengan Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas berbanding lima daerah lain. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bilangan mangsa banjir di Johor masih merekodkan jumlah tertinggi dengan 44,937 mangsa setakat jam 8 pagi tadi.

Mangsa yang terdiri daripada 12,730 keluarga itu ditempatkan di 172 PPS di lima daerah.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Azmi Rohani berkata, ia meningkat sedikit berbanding malam semalam dengan 43,667 mangsa membabitkan 12,385 keluarga.

Bagaimanapun, beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, berkata hanya Batu Pahat menunjukkan peningkatan berbanding lima daerah terjejas lain apabila 39,737 mangsa daripada 12,730 keluarga ditempatkan di 114 PPS.

Katanya, jumlah mangsa di Muar pula menurun kepada 2,785 orang dan 846 keluarga di 19 PPS, manakala Tangkak berkurangan menjadi 1,924 mangsa daripada 642 keluarga di 17 PPS.

“Jumlah mangsa banjir di Mersing pula berkurang dengan 47 orang daripada 14 keluarga ditempatkan di tiga PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini, menurut Berita Harian.

Beliau berkata hanya Segamat kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir dari malam tadi iaitu seramai 706 mangsa membabitkan 169 keluarga di 19 PPS.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat ini tidak mengeluarkan sebarang sebarang amaran hujan berterusan mahu pun ribut petir bagi semua daerah di Johor, dengan keadaan cuaca cerah di semua daerah pagi ini.

Di Pahang pula, hanya 172 mangsa banjir daripada 61 keluarga masih berada di dua PPS di Rompin.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan, jumlah itu menunjukkan penurunan ketara berbanding 518 mangsa daripada 166 keluarga masih berada di tiga PPS petang semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 110 mangsa daripada 37 keluarga berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Leban Chondong dan SK Kampung Aur pula menempatkan 62 mangsa daripada 24 keluarga.

Keadaan cuaca yang cerah dan baik turut membantu banjir semakin pulih di beberapa kawasan di Rompin sejak kelmarin.

Sementara itu, maklumat laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Keratong di Jambatan Bahau di Keratong, Rompin merekodkan bacaan paras air melepasi tahap amaran, pada jam 8 pagi.

Berdasarkan rekod, paras air Sungai Keratong mencatat bacaan 22.82 meter (m) iaitu melepasi 22m yang ditetapkan.

Di Melaka pula, seramai 380 mangsa daripada 99 keluarga ditempatkan di lima PPS yang dibuka di daerah Jasin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.