
Justeru, Menteri Luar Negeri, Zambry Abdul Kadir menegaskan Malaysia tidak akan berhenti mengadakan libat urus dengan rakan anggota Asean serta pihak berkepentingan di Myanmar bagi menamatkan krisis politik di negara itu.
“Kita memahami isu dihadapi ini sangat rumit di mana, ianya akan memungkinkan ada kuasa lain masuk untuk campur tangan dan ia akan mewujudkan suasana ‘black point’ di kawasan tersebut.
“… dan akan menjadikan rantau ini tidak aman. Oleh demikian, Malaysia tidak akan kecewa dengan apa berlaku dan kita akan teruskan usaha sehingga satu penyelesaian muktamad dapat dilaksanakan,” katanya menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau).
Terdahulu, Puah ingin tahu adakah negara Asean bersedia mengadakan sekatan ekonomi terhadap Myanmar dalam usaha menamatkan pergolakan di negara itu.
Pada 1 Feb 2021, tentera Myanmar bertindak merampas kuasa, beberapa jam sebelum Parlimen baharu dilantik, bersidang buat kali pertama.
Sejak itu, lebih 2,000 orang terbunuh dalam pemberontakan menentang junta.
Pada Julai tahun lalu, junta melaksanakan hukuman gantung terhadap empat tahanan politik, antaranya dua aktivis pro-demokrasi terkemuka.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, Malaysia kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf pemerintahan junta Myanmar namun mengekalkan kedutaan negara di sana, agar sesi libat urus dapat diteruskan.
“Hubungan kita dengan Myanmar meskipun dalam keadaan ada sekarang agak sukar, namun kita tetap meletakkan dan meneruskan kedutaan kita di sana dalam usaha negara nak memastikan supaya proses perbincangan dapat diteruskan.
“Kerana kita tidak mahu sebarang perkara berlaku di Myanmar, memandangkan ia masih lagi anggota Asean. Mahu atau tidak, apa berlaku di sana akan memberi impak kepada negara kita,” katanya.
“Kedutaan kita berfungsi untuk memaklumkan tentang perkara berlaku dan perkembangan di Myanmar.”