Akta Antigangguan Seksual dikuat kuasa tahun ini, kata Nancy

Akta Antigangguan Seksual dikuat kuasa tahun ini, kata Nancy

Akta itu diwartakan pada 18 Okt 2022.

Kerajaan percaya peningkatan kesedaran mengenai betapa seriusnya gangguan seksual diperlukan sebelum Akta Antigangguan Seksual 2022 dikuatkuasakan sepenuhnya.
KUALA LUMPUR:
Akta Antigangguan Seksual 2022 akan dikuatkuasakan secara berperingkat tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.

Akta yang ditunggu-tunggu itu diwartakan pada 18 Okt 2022.

“KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) berpendapat adalah penting untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran rakyat tentang betapa seriusnya isu melibatkan gangguan seksual, sebelum akta ini dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Sehubungan itu, penguatkuasaan Akta 840 dirancang untuk diadakan secara berperingkat pada tahun ini, melibatkan takrifan gangguan seksual, elemen kesedaran pendidikan serta pemahaman mengenai gangguan seksual kepada masyarakat,” katanya di Dewan Rakyat.

Ogos lalu, menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat ketika itu, Rina Harun berkata, penguatkuasaan akta berkenaan akan bermula dengan program advokasi untuk memberi kesedaran, pendidikan dan pemahaman kepada orang ramai mengenai undang-undang itu.

Sementara itu, Nancy berkata, kementeriannya dalam peringkat akhir merangka Rang Undang-undang (RUU) Profesion Kerja Sosial.

“Jika semuanya berjalan lancar, KPWKM akan kemukakan draf RUU ini untuk semakan Jabatan Peguam Negara tahun ini.”

RUU itu dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan, tetapi tidak dapat dibentangkan kerana kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad tumbang pada Februari 2020.

RUU itu kemudian diteruskan penggantinya, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Akta Profesion Kerja Sosial akan mengiktiraf tugas pekerja sosial dan meningkatkan status mereka ke tahap profesional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.