Pengecualian tunjuk usul tiada pertandingan Umno langgar akta, kata KJ

Pengecualian tunjuk usul tiada pertandingan Umno langgar akta, kata KJ

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, jika usul itu tidak bertentangan Akta Pertubuhan 1966, tiada keperluan untuk pengecualian.

Sebelum dipecat Umno, Khairy Jamaluddin membantah usul tiada pertandingan yang kemudiannya diluluskan Perhimpunan Agung Umno.
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin berkata, keputusan mengecualikan Umno daripada mematuhi satu peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966 membuktikan usul tiada pertandingan melanggar undang-undang.

“Jika tidak, tiada keperluan untuk pengecualian,” katanya dalam video TikTok.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengesahkan Umno diberikan pengecualian di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Katanya, pengecualian itu diberikan mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan.

Di bawah Seksyen 70, menteri diberi kuasa menggunakan budi bicaranya mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan.

Merujuk perlembagaan Umno dan peraturan mesyuarat, Saifuddin berkata, kementeriannya memutuskan untuk mengecualikan Umno daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan berhubung usul tambahan yang diluluskan.

Seksyen 13(1)(c)(iv) memperuntukkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) boleh membatalkan pendaftaran sebuah pertubuhan, jika ia melanggar mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

Khairy berkata, kenyataan Saifuddin tidak mengenal pasti pelanggaran itu.

Bulan lalu, JPPM dilaporkan menyiasat kemungkinan pelanggaran perlembagaan parti selepas usul itu diluluskan Perhimpunan Agung Umno (PAU) Januari lalu.

Siasatan itu menyusul dua ahli Umno membuat aduan kepada JPPM mendakwa pembentangan usul itu di perhimpunan agung melanggar Artikel 10 perlembagaan parti.

Mereka bertegas usul itu perlu dibentangkan dua minggu sebelum PAU atau tujuh hari jika dibentangkan Majlis Kerja Tertinggi.

Khairy, yang pernah membantah usul itu, mendakwa perwakilan “diimport” untuk membantu “memusnahkan” usul itu dalam PAU. Dakwaan itu kemudiannya dinafikan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.