Belanjawan tak tangani masalah peneroka secara menyeluruh, Muhyiddin minta jangan aniaya ‘penyokong PN’

Belanjawan tak tangani masalah peneroka secara menyeluruh, Muhyiddin minta jangan aniaya ‘penyokong PN’

Muhyiddin Yassin berkata Belanjawan 2023 tak menyentuh beberapa isu yang dihadapi peneroka Felda, seperti perumahan untuk generasi kedua.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata perumahan generasi kedua Felda antara isu yang tidak disentuh Belanjawan 2023.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin membidas Belanjawan 2023 baharu kerana tidak menangani masalah peneroka Felda secara menyeluruh, antaranya isu perumahan untuk generasi kedua.

Selain isu pelupusan hutang peneroka, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata Belanjawan 2023 “langsung tak menyentuh tentang soal-soal lain berkenaan dengan masalah peneroka Felda”, dan tertanya apakah ia berkaitan dengan PRU15.

“Rumah generasi kedua, ketiga dan sebagainya dan masalah-masalah lain, itu tak disebut langsung. Mungkin kerana dalam PRU15 hampir sebahagian besar daripada pengundi di Felda menyokong Perikatan Nasional,” katanya di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Muhyiddin mempertahankan insiatif melupuskan hutang peneroka Felda, mendakwa ia tidak akan beri kesan besar kepada aliran tunai agensi itu.

“Saya nak ingatkan jangan aniaya mereka. Mereka manusia, mereka nak hidup, keadaaan mereka susah. Apa lah buat hal-hal sebegini?” katanya.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) antara penerima peruntukan sebanyak RM2.6 bilion dalam Belanjawan 2023, selain Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Fungsi asal penubuhan Felda turut diberi perhatian, dengan meneliti kemungkinan menutup syarikat subsidiari yang merugikan dan tidak selari dengan fungsi penubuhan.

Selain itu, kerajaan bercadang menyuburkan tanah-tanah terbiar milik Felda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.