
Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak berkata, inisiatif seperti program caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi manfaat kepada pekerja gig, yang majoritinya anak muda.
Pengerusi MAYC Perak, Naim Al-Amin Saharudin, berkata geran pendigitalan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan bantuan utama kepada usahawan muda.
“Bajet itu menyentuh beberapa aspek penting untuk belia, seperti mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran, latihan, dan program pembiayaan usahawan.
“Malah, terdapat beberapa inisiatif yang berjaya membantu golongan sasar. Kita dapat melihat kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan penurunan memberangsangkan hasil inisiatif Belanjawan 2023,” katanya.
Naim berkata, Belanjawan 2023 adalah satu anjakan penting ke arah memastikan masa depan mampan untuk generasi akan datang.
Pada Februari, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun berada pada 11.3%, dengan 320,800 anak muda menganggur ketika itu. Ia kemudian menurun sedikit kepada 11.1% pada April, dengan 315,600 belia dalam kumpulan umur itu masih tidak mempunyai pekerjaan.
Menerusi Belanjawan 2023, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga menawarkan 35,000 peluang pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk golongan belia.
Sementara itu, kerajaan melalui Perkeso memperuntukkan RM45 juta insentif untuk majikan yang menggaji 17,000 graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Arkitek Kepelbagaian, NGO yang bekerjasama dengan pelajar sekolah menengah, berkata belanjawan Putrajaya mengutamakan golongan belia, yang prihatin terhadap pengangguran dan jaminan pekerjaan.
Pengurus Komunikasinya, Neila Maryam Neil Bakry Marsoh, berkata belanjawan itu membantu belia memulakan perniagaan dan menjadikan syarikat berdaya tahan, seterusnya membolehkan mereka berkembang maju sebagai usahawan.
“Penangguhan dan diskaun pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga meringankan beban belia apabila mereka membina masa depan dan kerjaya mereka sendiri,” katanya.
Ahli ekonomi dari Monash University Malaysia, Niaz Asadullah, berkata Belanjawan 2023 disifatkan sebagai “mesra belia”, dengan insentif kewangan, program peningkatan kemahiran dan peruntukan baharu melindungi belia daripada kos sara hidup tinggi, selain mempromosikan kebolehpasaran mereka.
“Selain meningkatkan akses kepada pendidikan dan pekerjaan bergaji, Belanjawan 2023 juga mewujudkan sokongan lebih baik untuk belia yang mencari pekerjaan sendiri.
“Inisiatif berkaitan termasuk latihan keusahawanan khusus untuk belia B40 dan skim pinjaman mikro bagi membantu usahawan mikro dan kecil memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.
“Inisiatif ini berpotensi membentuk program komprehensif untuk pembangunan belia. Jika dilaksanakan dengan baik, ia mampu memperkasa belia dari segi pendidikan dan ekonomi,” kata Niaz.