Masih kurang reformasi institusi, kata kumpulan masyarakat sivil

Masih kurang reformasi institusi, kata kumpulan masyarakat sivil

Kerajaan perpaduan mengambil beberapa langkah positif, tetapi tidak mencapai jangkaan dalam bidang penting seperti reformasi institusi, kata pertubuhan masyarakat sivil.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak membuat komitmen jelas untuk melaksanakan reformasi institusi yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya PH, kata Bersih.
PETALING JAYA:
Pertubuhan masyarakat sivil memuji usaha kerajaan perpaduan mengekalkan tadbir urus yang baik sejak mengambil alih Putrajaya 100 hari lepas, tetapi lebih banyak usaha perlu dilakukan dari segi reformasi institusi, katanya.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy berkata, kerajaan perpaduan lebih terbuka untuk melibatkan pertubuhan masyarakat sivil dalam isu-isu yang membimbangkan berbanding pentadbiran terdahulu.

“Suaram telah mengambil bahagian dalam tiga sesi libat urus dalam tempoh dua bulan dengan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi (Azalina Othman Said) atau timbalan menterinya (Ramkarpal Singh),” katanya kepada FMT.

“Sesi libat urus seperti itu penting sebagai saluran berterusan untuk kerajaan semasa memahami keperluan masyarakat awam, yang akan membawa kepada pembangunan dan pelaksanaan dasar dari bawah ke atas.”

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, kerajaan perpaduan mengambil beberapa langkah berani untuk menghentikan projek yang mungkin mempunyai unsur rasuah.

Pemangku ketuanya, Pusphan Murugiah memetik pembatalan projek bernilai RM7 bilion bawah program Jana Wibawa, dan projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion yang ditender semula.

Bagaimanapun, menurut pertubuhan masyarakat sivil, walaupun kerajaan perpaduan telah mengambil beberapa langkah positif, ia tidak mencapai jangkaan dalam beberapa bidang penting, seperti reformasi institusi.

Sevan berkata, komitmen kerajaan terhadap tadbir urus yang baik sepatutnya merangkumi pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma).

“Berbanding menggunakan retorik lama mengenai kebimbangan keselamatan negara, kerajaan harus menilai secara objektif dan telus keperluan penahanan tanpa bicara dan peruntukan mereka dengan mempertimbangkan kewujudan akta lain yang menangani jenayah terancang,” katanya.

Pushpan berkata, Azam Baki sepatutnya disingkirkan daripada menjadi ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana beliau sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan skandal perdagangan saham.

“Penyingkiran beliau (Azam) dan proses yang telus dalam melantik ketua pesuruhjaya baharu akan membantu SPRM mendapatkan semula kepercayaan pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak membuat komitmen jelas untuk melaksanakan reformasi institusi yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Hanya pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk menyelidik, mengkaji dan mencadangkan reformasi, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.