SOP tak boleh dikompromi, kegagalan buka ruang ketirisan, kata pengerusi EAIC

SOP tak boleh dikompromi, kegagalan buka ruang ketirisan, kata pengerusi EAIC

Ismail Bakar berkata kelemahan pelaksanaan SOP dalam aspek keselamatan termasuk pengurusan tahanan boleh memberi kesan langsung kepada keberkesanan sistem serta kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

EAIC logo
EAIC menegaskan SOP tidak boleh dikompromi kerana ia asas kepada integriti dan kecekapan agensi penguatkuasaan.
PETALING JAYA:
Kegagalan mematuhi SOP dalam agensi penguatkuasaan boleh menjejaskan keselamatan awam yang harus ditangani segera, kata Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Pengerusinya Ismail Bakar berkata kelemahan pelaksanaan SOP termasuk dalam proses kelulusan, pelesenan, pengurusan tahanan dan operasi lapangan boleh memberi kesan langsung kepada keberkesanan sistem serta kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya, pematuhan terhadap SOP tidak boleh dikompromi dalam apa juga keadaan kerana ia asas kepada integriti dan kecekapan agensi penguatkuasaan.

“Sebarang kegagalan mematuhi SOP akan memberi kesan langsung kepada kualiti penyampaian perkhidmatan awam, selain membuka ruang kepada kebocoran, ketirisan dan kelompongan dalam sistem,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu tidak merujuk kepada mana-mana insiden namun baru-baru ini, SOP berkait pengurusan tahanan dibangkitkan susulan kejadian seorang tahanan warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, minggu lalu.

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar pada Isnin berkata pihaknya membuka kertas siasatan berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta kemungkinan berlaku kecuaian dalam kes terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan polis memburu seorang lelaki Pakistan berusia 24 tahun yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh ketika dalam tahanan reman bagi membantu siasatan beberapa kesalahan, termasuk berkait kes seksual terhadap kanak-kanak.

Muhammad Hassan, 24, kali terakhir dilihat berpakaian kemeja-T berwarna jingga dan seluar panjang hitam.

Jabatan Penjara pula berkata sebarang kelemahan dikenal pasti akan ditambah baik serta tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai atau melanggar peraturan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.