
Setiausaha polis Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, semua yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 49 tahun, melibatkan 22 lelaki dan 10 wanita tempatan, lima lelaki dan dua wanita warga asing.
“Berdasarkan maklumat risikan, sindiket ini beroperasi di sebalik dua syarikat teknologi maklumat dan pengaturcaraan komputer bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Selain itu, syarikat itu turut menawarkan perkhidmatan membangunkan laman web yang mengumpulkan pelbagai jenis permainan secara dalam talian dan aplikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan berkenaan, polis merampas antaranya 30 unit komputer riba, sembilan unit komputer, 47 telefon bimbit dan sekeping pasport.
Menurut Noorsiah, kesemua mereka direman selama empat hari dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 4(1)(c) dan 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Polis sentiasa komited dalam menjalankan siasatan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan judi dalam talian dan pada masa yang sama, orang ramai juga perlu memainkan peranan dalam menyekat aktiviti promosi judi dalam talian di laman sosial dengan menyalurkan maklumat kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.