
Khoo, yang bangun bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, berkata walaupun banyak usaha dan kempen dijalankan Kementerian Kesihatan kepada orang awam, ironinya perbuatan itu turut dilakukan Ahli Parlimen di bangunan berkenaan.
“Sungguhpun bangunan Parlimen kawasan larangan merokok, kita lihat di bilik Whip, ramai juga yang merokok, saya rasa kita harus tunjuk contoh baik sebagai wakil rakyat.
“Jadi, apakah pandangan timbalan menteri mengenai usaha yang kita harus lakukan terhadap perokok ini bagi memberi pendidikan bahawa kalau nak merokok pergilah ke luar, jangan menyusahkan orang lain,” katanya di Dewan Rakyat menurut Bernama.
Teguran itu mendapat respons Lukanisman yang turut bersetuju dan berterima kasih atas pandangan dikemukakan Khoo dan menasihatkan mereka yang berada di kawasan Parlimen berhenti merokok atau pergi ke ruang merokok jika ingin meneruskan perbuatan itu.
“Sekiranya ingin diteruskan, pergilah ke ruang merokok bersesuaian, jangan merokok di kawasan berdekatan dengan ruang pejabat dan ruang Parlimen,” katanya dan menambah aduan boleh dibuat menerusi WhatsApp 010 8608949.
Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Alias Razak (PN-Kuala Nerus), Lukanisman berkata, susulan pewartaan larangan merokok di tempat makan bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pindaan 2018, KKM telah memulakan talian aduan bermula Januari 2019.
Bagi tempoh 2022, beliau berkata KKM menerima sebanyak 7,291 aduan membabitkan 5,030 premis tempat makan dengan 1,233 premis dengan aduan berulang.
Katanya, pada tahun sama, sebanyak 201,265 premis kawasan larangan merokok diperiksa dan sebanyak 30,648 notis kesalahan merokok di tempat makan bawah Peraturan 11(1)(d) dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM7.6 juta.
Sementara itu, bagi tempoh 1 hingga 19 Jan lalu, KKM menerima sebanyak 587 aduan membabitkan 545 premis tempat makan dengan 40 premis dengan aduan berulang.
“Bagi tempoh sama, sebanyak 5,213 premis kawasan larangan merokok telah diperiksa dan sebanyak 3,379 notis kesalahan merokok di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) telah dikeluarkan dengan nilai kompaun berjumlah RM 844,750,” katanya.