Polis tahan 3 lelaki letup ATM di Setia Alam

Polis tahan 3 lelaki letup ATM di Setia Alam

Suspek turut mengaku terbabit kes meletupkan dua lagi mesin ATM milik bank sama.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata suspek mencuci wang itu menggunakan cecair peluntur baju selepas ia disembur secara automatik dengan dakwat ketika mesin ATM itu diletupkan.
SHAH ALAM:
Tiga lelaki termasuk seorang mekanik ditahan polis selepas disyaki terbabit meletupkan dua mesin juruwang automatik (ATM) di Setia Alam minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata ketiga-tiga suspek berusia 33 hingga 43 tahun ditangkap di tiga lokasi di Kuang dan Meru pada 28 Feb lalu.

Dalam kejadian 23 Feb lalu, suspek melarikan diri dengan wang hampir RM267,150 daripada sebuah mesin ATM berkenaan.

Hussein berkata, suspek mencuci wang itu menggunakan cecair peluntur baju selepas ia disembur secara automatik dengan dakwat ketika mesin ATM diletupkan.

“Mereka mengaku melakukan jenayah dan berada bawah pengaruh dadah,” katanya dalam sidang media.

Suspek turut mengaku terbabit dengan dua kejadian sama pada Disember 2020 dan Februari 2022, apabila mesin ATM milik bank sama diletupkan. Kedua-dua kejadian berlaku di Meru.

“Kami dapati mereka menyasarkan ATM di bank ini kerana masih menggunakan mesin lama dan suspek tahu tempat untuk digerudi bagi mengepam gas ke dalamnya.

“Letupan dicetuskan dengan percikan api,” katanya.

Menurutnya, semua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.