Gesaan Ahli Parlimen terhadap ketelusan perbelanjaan disokong

Gesaan Ahli Parlimen terhadap ketelusan perbelanjaan disokong

Ahli ekonomi dan bekas pegawai tinggi Perbendaharaan bersetuju belanja mengurus tidak sepatutnya berselindung di bawah perbelanjaan pembangunan.

Kerajaan meminjam bagi mendapatkan vaksin Covid-19, namun meletakkan perolehan itu di bawah perbelanjaan pembangunan, yang mana sepatutnya berada dalam ‘perbelanjaan mengurus’. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Dua ahli ekonomi dan bekas pegawai tinggi Perbendaharaan menyokong penuh gesaan Ahli Parlimen supaya kerajaan lebih jelas membezakan perbelanjaan pembangunan dan mengurusnya.

Mereka berkata, ia penting demi memastikan dana digunakan tidak diselindungkan antara satu sama lain.

Seorang daripadanya, Carmelo Ferlito yang mengetuai Pusat Pendidikan Pasaran, berkata ini penting kerana ia juga akan membantu seseorang memahami skala sebenar hutang Putrajaya.

Mereka mengulas berhubung kenyataan Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani yang menyatakan kerajaan sepatutnya lebih telus dalam perbelanjaannya, dan berhenti berselindung meletakkan belanja operasi di bawah “perbelanjaan pembangunan”.

Beliau memaklumkan kerajaan sebelum ini meminjam RM300 bilion ketika pandemik Covid-19, sebahagiannya digunakan dalam memperoleh vaksin. Bagaimanapun, jumlah itu diletakkan dalam perbelanjaan pembangunan, sedangkan sepatutnya berada di bawah belanja operasi.

Ferlito berkata, berselindung antara belanja operasi sebagai perbelanjaan pembangunan, menampakkan kos kerajaan menguruskan negara lebih rendah daripada hakikat sebenar.

Pada masa sama, ia memberi gambaran seperti kerajaan melabur dalam pembangunan.

Mengikut Akta Tatacara Kewangan, pendapatan digunakan bagi menanggung perbelanjaan operasi, manakala pinjaman digunakan membiayai kos pembangunan.

Ferlito juga menekankan bahawa ia tidak mampan untuk menggunakan dana dipinjam bagi membiayai perbelanjaan operasi.

“Perniagaan menjadi mampan apabila kos operasi boleh ditanggung melalui pendapatan. Jika anda perlu meminjam untuk menanggung perbelanjaan operasi, ini bermakna perniagaan anda tidak baik,” jelasnya.

“Anda meminjam atas jangkaan pelaburan dibuat membuahkan hasil, tahun demi tahun, tambahan pendapatan akan menanggung kos pelaburan,” katanya.

Pensyarah kanan ekonomi dari Universiti Malaya, Goh Lim Thye, berkata ketelusan kerajaan berkait perbelanjaan operasi akan memacu keyakinan pelabur.

“Ia cukup kritikal ketika ini memandangkan tanpanya, tidak kira apa bentuk dasar ingin kita laksanakan, kita tidak mampu menarik pelabur,” kata Goh kepada FMT Business.

“Mungkin Kementerian Kesihatan pada masa itu boleh menjelaskan keadaan dengan menyediakan penjelasan kepada orang ramai, jadi kita tahu rasional di sebalik keputusan itu,” katanya.

Bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Sheriff Kassim, turut bersetuju kerajaan tidak sepatutnya meminjam untuk belanja mengurus, sambil menggambarkan bantahan terhadap langkah seperti itu sebagai “perkara yang baik”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.