UK hipokrit berkait amalan buruh paksa, kata aktivis

UK hipokrit berkait amalan buruh paksa, kata aktivis

UK sendiri gagal mengambil pendekatan sama berhubung isu buruh paksa ketika ia memberitahu Malaysia apa yang perlu dilakukan, kata aktivis.

Semakin banyak syarikat Malaysia, termasuk pembuat sarung tangan getah menerima pakai amalan tanpa kos pengambilan, kata aktivis, Andy Hall. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aktivis hak asasi pekerja asing menuduh kerajaan Britain hipokrit berhubung keperluan pembuat sarung tangan getah Malaysia menyelesaikan dakwaan penggunaan buruh paksa, sebelum menjual produk mereka ke United Kingdom (UK).

Andy Hall yang juga warga British, berkata kerajaan UK sendiri gagal mengambil pendekatan sama menangani masalah itu di Britain melibatkan amalan buruh paksa dalam sektor pertanian, peruncitan, hospitaliti dan penjagaan kesihatan.

Hall berkata, warga asing ingin bekerja dalam sektor terbabit di Britain mesti menanggung semua kos berkaitan pengambilan, yang mana kebiasaannya meliputi tiket penerbangan mahal selain tiket perjalanan tempatan, visa, saringan kesihatan, insurans dan bayaran kepada orang tengah.

Beliau mendakwa, pekerja asing di negaranya tidak mendapat semula kos berkaitan pengambilan, sama ada daripada majikan sendiri atau rantaian bekalan utama seperti pasar raya.

Katanya, amalan itu bukan kebiasaan di Malaysia, namun perlahan-lahan menjadi norma di negara ini.

“Kerajaan UK menerima pakai prinsip ‘pekerja membayar’ berbanding ‘majikan membayar’,” katanya kepada FMT. “Dan walaupun berdepan keberberhutangan, pekerja terbabit tidak juga menerima bentuk pemulihan daripada majikan dengan persekitaran bekerja seperti perhambaan.

“Tetapi, bagi mereka yang berhijrah, menanggung kos tinggi, ada pembuat sarung tangan getah terbesar Malaysia mengembalikan semula sebahagian kos pengambilan selaras kempen advokasi dan tindakan penguatkuasaan dagang Amerika Syarikat.

“Kini, lebih banyak juga syarikat Malaysia menerima pakai amalan tiada kos pengambilan.”

Hall berkata, kerajaan UK dan pembeli sarung tangan getah British tidak menyokong sebarang pemulihan menyeluruh “mangsa perhambaan moden” dalam jaringan bekalan di Malaysia.

“Kebiasaanya, mereka hanya mengarahkan kepada pihak pembekal untuk melakukan pemulihan atau memilih melepaskan diri daripada situasi perhambaan moden tanpa menyumbang usaha pemulihan, sehinggalah jaringan bekalan mereka akhirnya mendapat liputan meluas.”

Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia ketika dihubungi bagi mengulas kritikan Hall, berkata pihaknya akan memberikan taklimat berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat.

Hall mengulas berhubung laporan berita membabitkan wakil British bagi migrasi dan perhambaan moden, Andrew Patrick, yang dipetik sebagai berkata, pengeluar sarung tangan Malaysia dikehendaki menghantar laporan audit menyeluruh membersihkan mereka daripada amalan buruh paksa sebelum dibenarkan menjual produk mereka kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan UK (NHS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.