
Katanya, kedudukan mereka tetap kukuh di Sabah berdasarkan jumlah undian diperoleh parti itu pada PRU15 lalu.
“Jika kita lihat jumlah undian pada PRU15, daripada 1.06 juta rakyat Sabah, Warisan memperoleh 24.3% undian iaitu peratusan tertinggi berbanding parti lain.
“Biarpun jumlah kerusi Parlimen dikuasai Warisan merosot tapi, jumlah undian diperoleh Warisan berada jauh di hadapan mengatasi parti lain,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata, Warisan hanya bermula dengan dua Ahli Parlimen dan tiga Adun ketika ditubuhkan pada 2016 dan kini mempunyai 15 Adun dan tiga Ahli Parlimen.
Pada PRU15, undian diterima Umno adalah 17.3% dan diikuti PKR 10.9%, Bersatu/Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula memperoleh 8.8%.
Mengulas lanjut, Azis berkata fakta itu jelas menunjukkan sokongan diterima mereka masih tinggi dan kepimpinan parti akan meneruskan perjuangan untuk berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan hari ini.
Katanya, Adun yang mengkhianati kepercayaan pengundi pasti dihukum pada pilihan raya akan datang.
“Lihat apa terjadi kepada pengkhianat Langkah Sheraton. Hampir semua tewas malah ada yang hilang wang pertaruhan,” katanya.
Menurutnya, Warisan akan kekal dengan prinsip memberi pilihan terbaik untuk rakyat Sabah selain tidak akan mengubah hala tuju hanya kerana ada wakil rakyat memilih mengkhianati perjuangan parti.
“Alasan melompat demi rakyat adalah satu alasan basi dan retorik yang digunakan untuk menghalalkan lompatan mereka. Jadi, biar masa menentukan,” katanya.