
Bekas ahli majlis pimpinan tertinggi itu berkata, tindakan menghantar nama calon menteri besar Perlis baharu sekiranya benar seperti yang dilaporkan media, merupakan isyarat jelas sikap tidak hormat Bersatu terhadap PAS sebagai rakan sekutu utama.
“Saya sudah sekian lama mengatakan bahawa hubungan dengan PAS adalah hubungan yang berharga.
“Bersatu jangan berperangai besar kepala,” katanya di Facebook.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata PAS telah menyatakan pendirian tegas mereka mengenai isu di Perlis maka kini tumpuan terarah kepada Muhyiddin untuk menunjukkan komitmen terhadap semangat setiakawan.
“Bersatu mesti ada pendirian yang membayangkan setiakawan. Jika tidak, maksudnya Muhyiddin memberi restu.
“Paling penting, semua pihak perlu dapatkan pandangan dan nasihat Istana Arau. Tuanku Raja Perlis dan Tuanku Raja Muda Perlis jauh lebih dihormati dan disayangi oleh rakyat Perlis berbanding mana-mana ahli politik,” katanya.
Terdahulu, Presiden PAS Hadi Awang menyerahkan kepada Bersatu sama ada mahu mengambil tindakan disiplin terhadap lima Adun parti itu yang menarik sokongan terhadap Shukri Ramli sebagai menteri besar Perlis, sambil menegaskan kepentingan solidariti politik.
Kenyataan Ahli Parlimen Marang itu dibuat ketika ketegangan dalam PN semakin memuncak susulan penarikan sokongan terhadap Shukri, yang meletakkan jawatan sebagai menteri besar semalam atas alasan kesihatan.
Sebelum ini, PAS telah menamatkan keanggotaan tiga Adunnya di Perlis iaitu – Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) kerana didakwa bersama Adun Bersatu menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis untuk menarik sokongan terhadap Shukri.
Lima Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).
Selepas pendedahan mengenai SD itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, serta Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap Adun terlibat.