
Dalam satu kenyataan, Muhyiddin berkata Bersatu hanya menyembah maklum nama calon menteri besar daripada parti itu selepas menerima titah daripada Istana Perlis.
“Saya ingin menegaskan bahawa tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada Adun Perlis daripada Bersatu untuk menandatangani sebarang akuan berkanun (SD).
“Justeru, Bersatu akan mendengar penjelasan daripada Adun parti di Perlis bagi memastikan fakta sebenar perkara ini,” katanya.
Muhyiddin turut menegaskan Perikatan Nasional (PN) menghormati sepenuhnya kuasa budi bicara Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dalam urusan pelantikan menteri besar.
“PN juga menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dan menghormati kedudukan PAS sebagai parti yang memimpin PN di negeri itu,” katanya.
Beliau juga berharap kemelut berhubung jawatan menteri besar Perlis dapat diselesaikan secara berhemah dan kekeluargaan, demi menjamin kestabilan pentadbiran PN di negeri tersebut.
Khamis lalu, Shukri yang juga Adun Sanglang dari PAS meletak jawatan menteri besar Perlis selepas tiga tahun menggalas amanah itu. Beliau memberi alasan faktor kesihatan.
Peletakan jawatannya menyusuli tindakan lapan Adun PN, termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap beliau menerusi SD diserahkan kepada Raja Perlis, minggu lalu.
Penarikan sokongan Adun terbabit dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN, yang dikuasai PN, untuk terus menjadi menteri besar.
Presiden PAS Hadi Awang memaklumkan keahlian tiga Adun berkenaan, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Lima Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).
Selepas pendedahan mengenai SD itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, serta Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap Adun terlibat.