Pelaksanaan GST bergantung kepada masa, kata Rafizi

Pelaksanaan GST bergantung kepada masa, kata Rafizi

Menteri ekonomi berkata GST tidak seharusnya didekati hanya sebagai satu cara untuk meningkatkan tabung kerajaan kerana ia boleh menjadi satu 'ketagihan'.

Rafizi Ramli menentang pelaksanaan GST apabila ia diperkenalkan pada 2015. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengakui kerajaan mungkin melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada masa akan datang, apabila tiba masanya.

Rafizi memberitahu forum anjuran alumni penjawat awam bahawa pelaksanaan cukai kepenggunaan itu adalah mengikut masa dan ia mesti bersifat progresif.

“Pandangan saya mengenai GST ialah apabila tiba masanya, ia adalah sesuatu yang kita perlu lihat tetapi sebelum itu, kita mempunyai laluan yang mencukupi untuk tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang untuk memperbaiki perkara yang berada dalam kawalan kita.

“Sebagai contoh, kita (kerajaan) mampu menguruskan perbelanjaan kita dengan lebih baik kali ini,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan tidak bercadang untuk perkenalkan semula GST atau cukai kepenggunaan berasas luas, yang yang telah dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Rafizi sendiri sebelum ini pernah menentang GST apabila ia dilaksanakan semasa pentadbiran Najib Razak pada 2015.

Bagaimanapun, menteri ekonomi menegaskan bahawa GST tidak seharusnya didekati hanya sebagai satu cara untuk meningkatkan tabung kerajaan kerana ia boleh menjadi satu “ketagihan”.

Rafizi berkata kadar GST boleh dinaikkan dengan mudah daripada 5% kepada 20% jika kerajaan tidak membetulkan isu berkaitan tadbir urus, perbelanjaan dan kecekapan belanjawan.

Ini katanya, akan menyebabkan belanjawan negara dan kewangan awam dalam keadaan lemah yang berterusan.

Beliau berkata, ada beberapa siri perkara yang perlu dilaksanakan dan sebaik sahaja itu selesai, keputusan untuk melaksanakan GST hanyalah soal berkenaan keberkesanan kutipan dan ia bukan sekadar cara untuk mengutip cukai yang lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.