Hentikan sengketa politik, beri ruang Hajiji tadbir Sabah, kata Anwar

Hentikan sengketa politik, beri ruang Hajiji tadbir Sabah, kata Anwar

Perdana menteri berkata, semua pihak tidak sepatutnya menjadikan politik sebagai medan permusuhan dan adu domba tidak berkesudahan.

Anwar Ibrahim berborak dengan Hajiji Noor dalam majlis makan malam bersama Jemaah Menteri Sabah di Kota Kinabalu. (Gambar Bernama)(Bernama pic)
KOTA KINABALU:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meminta semua pihak menghentikan sengketa politik di Sabah dan memberi ruang kepada Ketua Menteri, Hajiji Noor mentadbir serta memajukan negeri itu.

Beliau berkata, semua pihak tidak sepatutnya menjadikan politik sebagai medan permusuhan dan adu domba tidak berkesudahan, sebaliknya mereka perlu berganding bahu tanpa mengira latar belakang politik bagi memajukan Sabah.

“Ada mandat sekarang, gunakan mandat itu untuk jaga negeri ini, pimpinan dipilih, kita pegang amanah bukan khianat. Kalau rasa nak bertarung, tunggu masa pilihan raya kita bertarung.

“Sekarang bukan masa bertarung, sekarang masa menjalankan amanah mentadbir negeri dan mengangkat martabat negeri serta rakyat,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri dan persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Turut hadir Hajiji, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Ali.

Anwar berkata, dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkannya Jumaat lalu, antara perkara yang diberi penekanan penting ialah menghapuskan kemiskinan tegar kerana kira-kira 130,000 orang kini berada dalam kategori itu.

“Ramai (miskin tegar) di Sabah, jadi dengan apa cara juga, seluruh kekuatan persekutuan dan negeri kita selamatkan rakyat ini…ini kita katakan tekad politik, bila kita ada tekad politik, kekal jujur, masalahnya daripada diri sendiri, mahu atau tidak, saya percaya rakyat Sabah komited dalam perkara ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.