
“Kalau bukan kerana cubaan tertuduh menukar ‘kuda’, kita tidak akan berada di sini hari ini,” kata pendakwa raya ad hoc V Sithambaram di hadapan panel lima hakim yang mendengar permohonan bekas perdana menteri itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya.
Panel itu diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.
Ia turut dianggotai Hakim Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.
Undang-undang membenarkan setiap tertuduh melantik peguam pilihan mereka, kata Sithambaram, tetapi peguam baru mesti bersedia untuk bertindak sekiranya dilantik hampir dengan tarikh pendengaran.
“Mereka (tertuduh) tidak boleh menukar kepada peguam yang tidak bersedia (meneruskan dengan tarikh ditetapkan) sekiranya dibenarkan, ia akan membuka pintu di mana semua orang boleh datang ke mahkamah bagi mendapatkan penangguhan.
“Ini akan membawa kepada masalah kepada pelaksanaan undang-undang,” katanya.
Pendakwa raya berkata, afidavit yang difailkan Najib bagi menyokong usul itu mendakwa beliau diberi “jaminan oleh peguam yang baru dilantik bahawa Mahkamah Persekutuan akan memberi mereka masa yang munasabah untuk membuat persediaan bagi pendengaran rayuan utama”.
“Adakah ini sudah menjadi amalan lazim, di mana peguam boleh datang ke mahkamah untuk menangguhkan kes mereka, sekiranya permintaan mereka ditolak, mereka kemudiannya boleh meminta semakan?,” soal Sithambaram.
Pada Julai tahun lalu, kurang sebulan sebelum tarikh rayuan, Najib melantik firma Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners sebagai peguam cara yang baharu untuk menggantikan Shafee & Co. Beliau juga melantik Hisyam Teh Poh Teik bagi mengetuai pasukan pembelaan.
Bagaimanapun, Najib menamatkan perkhidmatan firma Zaid selepas permohonannya untuk penangguhan sementara menunggu bukti baharu ditolak Mahkamah Persekutuan.
Pada masa yang sama, Mahkamah Persekutuan menolak permintaan Hisyam untuk menarik diri sebagai peguam bela utama. Hisyam memohon untuk menarik diri selepas permohonannya untuk menangguhkan rayuan itu ditolak.
Mahkamah kemudiannya mengarahkan Hisyam terus mewakili Najib sehingga kes selesai.
Hakim Abu Bakar bertanya kepada Sithambaram adakah mahkamah lebih rendah pernah menolak permohonan Najib untuk menangguhkan kes sebelum ini.
Sithambaram berkata, Mahkamah Rayuan pernah menolak rayuan serupa, ia dibuat hanya sebelum tarikh di mana Mahkamah Rayuan dijadual membuat keputusan berhubung rayuan awal Najib daripada Mahkamah Tinggi.
Penangguhan diminta selepas pembelaan memfailkan usaha sebelum ini untuk memasukan bukti baharu mengaitkan keluarga Zeti Akhtar Aziz yang didakwa menerima dana daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.
“Mereka meminta untuk menangguhkan keputusan itu, tetapi mahkamah meneruskannya,” katanya.
Najib ketika ini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas sabitan dan hukuman dalam kes SRC International dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Rayuannya terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.
Pada 23 Ogos tahun lalu, lima panel Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan akhir Najib dan mengarahkan bekas perdana menteri itu dihantar ke penjara.
Pada Sept 2022, najib memfailkan permohonan untuk menyemak keputusan itu dengan alasan mahkamah melanggar prinsip asas undang-undang, termasuk haknya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan diwakili peguam.