Permohonan kerajaan, pasukan petugas khas batal saman Tommy Thomas didengar 15 Jun ini

Permohonan kerajaan, pasukan petugas khas batal saman Tommy Thomas didengar 15 Jun ini

Kerajaan dan pasukan petugas khas menegaskan saman difail Thomas itu adalah skandal, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Tommy Thomas berkata penerbitan laporan pasukan petugas mengenai memoirnya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ melanggar undang-undang dan hak perlembagaan.
KUALA LUMPUR:
Permohonan untuk membatalkan saman Tommy Thomas terhadap kerajaan dan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat buku memoir bekas peguam negara itu akan didengar pada 15 Jun ini.

Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud berkata, tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Mahkamah Tinggi.

Irmawatie berkata, Wan Ahmad Farid juga mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis sebelum 2 Mei.

Peguam Haikaldin Mahyidin mewakili Thomas.

Kedua-dua defendan memohon untuk membatalkan saman difailkan Thomas pada Okt lalu atas alasan ia adalah skandal, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Thomas, dalam respons kepada permohonan untuk membatalkan saman itu berhujah, pasukan petugas berkenaan tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk menyiasat bukunya dan laporan dikeluarkan mengenai perkara itu menyalahi undang-undang.

Dalam saman pemulanya, Thomas menamakan kerajaan persekutuan dan semua anggota pasukan petugas sebagai defendan.

Dalam saman itu, Thomas berhujah bahawa penerbitan laporan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.

Beliau berkata, penerbitan laporan pasukan petugas mengenai memoirnya bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” adalah melanggar undang-undang dan hak perlembagaannya.

Thomas mahukan pengisytiharan laporan dikatakan bertajuk “Laporan Pasukan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’”, yang dikeluarkan oleh pasukan petugas itu, adalah dokumen tidak sah dan tidak dibenarkan oleh undang-undang.

Beliau juga meminta pengisytiharan bahawa penerbitan laporan kerajaan melanggar haknya untuk reputasi yang dikatakannya, dilindungi oleh Perkara 5(1) dan 13(1) perlembagaan.

Pasukan petugas itu ditubuhkan oleh Jemaah Menteri bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Okt 2021 untuk menjalankan kajian awal pendedahan yang dibuat oleh Thomas dalam bukunya, yang diterbitkan pada Januari 2021.

Pada 22 Dis 2021, Jemaah Menteri meluluskan terma rujukan pasukan petugas itu, yang melibatkan penyiasatan dakwaan mengenai badan kehakiman, pendedahan rahsia kerajaan, salah guna kuasa, kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

Laporan pasukan petugas itu dibentangkan di hadapan Jemaah Menteri pada Sept tahun lalu dan didedahkan kepada umum pada 21 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.