
Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Roslan Abu Bakar membuat keputusan itu selepas menolak semua tiga alasan yang dikemukakan Mohd Azmi Mahmood, wakil kepada Tengku Razaleigh, dalam bantahan awal.
Azmi yang juga pengundi di Parlimen Gua Musang memfailkan petisyen itu pada 3 Jan lalu.
Dalam prosiding hari ini, Roslan berkata, tiga alasan itu termasuk tarikh petisyen difailkan didakwa melebihi had masa ditetapkan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Alasan kedua ialah lantikan peguam pempetisyen tidak mematuhi undang-undang mengikut Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Dan ketiga, pempetisyen tidak mempunyai alasan kukuh menyokong dakwaan sogokan dan rasuah pilihan raya terkandung dalam petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah.
“Dalam fakta itu, ia tidak mempunyai butiran rasuah atau sogokan, termasuk tidak ada maklumat penerima dan tiada fakta mengenai pemberi rasuah,” katanya menurut Berita Harian.
Roslan kemudian memerintahkan Azmi membayar kos RM25,000.
Pada prosiding itu, pempetisyen diwakili Abu Bakar Isa Rahmat, Mohamed Baharuddin Mohamed Ariff dan Norhazira Abu Hayyan, manakala responden yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Mohamad Azizi Abu Naim diwakili Wan Rohimi Wan Daud, Nik Bahrum Nik Abdulllah, Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu.
Pada PRU15, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, gagal mempertahankan Parlimen Gua Musang buat kali ke-12, apabila tewas kepada Azizi dengan majoriti tipis 163 undi.
Azizi meraih 21,826 undi, manakala Tengku Razaleigh mendapat 21,663 undi.