
Ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Mohd Nor, berharap kerajaan menaikkan kadar pemberian bantuan kewangan seperti inisiatif baju sekolah kerana kadarnya tidak lagi sesuai dengan kos hidup yang kian tinggi.
“Selain itu, bantuan RM80 untuk sekolah rendah dan RM120 untuk sekolah menengah yang diberikan dalam setahun kepada ibu bapa Orang Asli untuk membeli peralatan alat tulis sudah tidak lagi sesuai dan relevan dengan situasi semasa,” katanya.
Beliau juga mencadangkan kerajaan menukar konsep bantuan yang ingin disalurkan kepada anak Orang Asli kepada bentuk biasiswa bulanan mengikut kadar tertentu yang diberikan kepada ibu bapa setiap bulan dengan kerjasama sekolah.
Kerajaan juga disaran memberikan insentif kepada guru yang berkhidmat di sekolah Orang Asli sebagai pemberi semangat untuk terus berusaha mendidik anak Orang Asli.
“Saya juga ingin menyarankan kepada kerajaan agar melengkapkan guru-guru yang mengajar anak-anak Orang Asli ini dengan kemahiran mengajar mereka,” katanya.
Ibu bapa perlu ada kesedaran
Di samping mengatasi situasi sosioekonomi, Ramli berkata masyarakat Orang Asli sendiri terutama ibu bapa perlu ada kesedaran tentang kepentingan pendidikan bagi anak-anak mereka.
“Terap budaya untuk memperoleh ilmu. Bagi saya, nasib anak-anak Orang Asli sebenarnya terletak di tangan ibu bapa,” katanya.
Senator Ajis Sitin pula berkata kerajaan harus pertimbangkan membina sekolah rendah hingga menengah dalam atau berdekatan penempatan Orang Asli secara serentak atau berperingkat, bagi memudahkan murid berulang-alik di samping meringankan kos.
Beliau juga menggesa kerajaan meramaikan tenaga pengajar dan kakitangan sekolah berketurunan Orang Asli untuk keselesaan murid dan sebagai “role model”.
“Ia secara tidak langsung memudahkan, kerana guru menggunakan bahasa tempatan serta mengamalkan budaya yang lebih dekat dengan murid itu,” katanya.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), dalam satu forum baru-baru ini berkata isu yang harus ditangani adalah kadar keciciran yang tinggi, diskriminasi di sekolah, dan kurangnya pernyataan budaya dan sejarah masyarakat itu dalam kurikulum kebangsaan.
Ramli berkata selain isu sosial seperti diskriminasi, isu prasarana seperti jarak sekolah yang jauh dan kemiskinan tegar antara sebab dan faktor pelajar Orang Asli berputus asa dan berhenti sekolah.
Katanya, pengajaran dan pembelajaran di rumah secara dalam talian sepatutnya membolehkan pelajar mengikuti pelajaran di rumah, namun kebanyakan murid Orang Asli tidak mampu mengikutinya kerana capaian kepada peranti yang kurang.
“Banyak kaedah dilakukan bagi membolehkan murid terus belajar hingga ada guru yang pergi rumah ke rumah, memasuki perkampungan yang jauh di pedalaman semata-mata untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran. Lembaran kerja diagihkan dan dikutip semula berdasarkan tarikh tertentu,” katanya kepada FMT.
“Namun kaedah ini dilihat tidak berkesan kerana mereka tidak dapat dibimbing sebaiknya seperti kelas bersemuka. Malah, lembaran kerja sekolah yang diberikan dihantar kembali tanpa sebarang jawapan.”
Ajis menjelaskan lagi masalah jarak sekolah yang jauh daripada penempatan. “Ada sampai 20-30km, dan ada murid perlu sudah bersedia seawal 5.30 pagi.”
Walaupun Jabatan Kemajuan Orang Asli menyediakan pengangkutan, “kos dan jarak jauh menyebabkan Orang Asli tak bersungguh nak ke sekolah,” katanya.
Beliau menambah sekolah di perkampungan Orang Asli tidak menyeluruh dan tertumpu di kawasan pentadbiran masyarakat itu sahaja.
“Ada asrama diwujudkan untuk pelajar seawal darjah satu. Bila duduk asrama pada usia seawal itu jadi susah sebab berjauhan dengan keluarga.”