Hasni umum rebut jawatan naib presiden Umno

Hasni umum rebut jawatan naib presiden Umno

Bekas Menteri Besar Johor itu menjadi pemimpin terbaharu yang mengumumkan merebut jawatan naib presiden Umno.

Bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad menyerahkan borang pencalonan bagi merebut jawatan naib presiden Umno di Ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad mengesahkan bakal bertanding jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu akan datang.

Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Adun Benut itu menyerahkan borang pencalonan di Ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

“Alhamdulillah, mengambil keberkatan hari Jumaat, saya menyerahkan borang pencalonan bagi naib presiden Umno pada pemilihan kali ini,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook.

Terdahulu FMT melaporkan, Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani turut mengesahkan bertanding jawatan naib presiden Umno selepas menyerahkan borang pencalonan.

Jawatan naib presiden Umno disandang bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob; bekas menteri pembangunan luar bandar Mahdzir Khalid; dan Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin.

Khaled dan Mahdzir mengesahkan akan mempertahankan jawatan mereka.

Kini, hanya tinggal Ismail yang masih belum menyatakan pendirian setakat ini.

Pemilihan jawatan dalam pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri diadakan pada 11 Mac ini.

Pemilihan jawatankuasa Umno Bahagian, naib presiden bersama pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi pula diadakan pada 18 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.