
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, pasukan itu telah mula menjalankan siasatan minggu lepas dan diberi tempoh 30 hari sejak 15 Mei untuk mengemukakan laporan siasatan awal kepada kementerian.
“Selain menyiasat secara terperinci punca kejadian, termasuk mengenal pasti sebarang kelemahan sistemik dari aspek keselamatan jalan raya, pasukan ini juga berfungsi menganalisis keberkesanan penguatkuasaan sedia ada serta peraturan dalam industri pengangkutan.
“(Pasukan ini) juga menilai semula garis panduan, infrastruktur, dan penggunaan teknologi keselamatan bagi mencegah kejadian serupa berulang,” katanya dalam kenyataan.
Loke berkata, pasukan itu diketuai Ketua Inspektor Kemalangan Udara Brigadier Jeneral Tan Chee Kee serta dianggotai pelbagai pakar serta wakil agensi utama berkaitan.
“Fokus utama siasatan ini bukanlah untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi mengenal pasti kelemahan sistem sedia ada dan mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan secara sistematik dan berkesan demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Kementerian akan memastikan bahawa setiap syor dan dapatan yang dikemukakan akan diteliti secara menyeluruh untuk tindakan susulan di peringkat dasar dan operasi,” katanya.
Dalam kejadian pada Selasa lepas, sebuah trak FRU dalam perjalanan pulang daripada penugasan kawalan keselamatan di Ipoh dilanggar lori membawa batu kerikil, menyebabkan sembilan anggota terkorban, manakala dua lagi cedera parah.
Walaupun punca kejadian masih disiasat, penemuan awal menunjukkan lori terbabit mungkin mengalami kegagalan sistem stereng.