Gaji berbaloi penentu pekerja mahir kekal dalam negara, kata menteri

Gaji berbaloi penentu pekerja mahir kekal dalam negara, kata menteri

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata pekerja yang terlibat dalam bidang teknologi tinggi sememangnya mengharapkan gaji yang lumayan.

Sebilangan pekerja mahir memilih untuk berhijrah ke negara lain kerana tertarik dengan tawaran gaji yang lebih lumayan.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyarankan majikan menawarkan gaji lebih tinggi kepada pekerja, setimpal dengan kemahiran dan pendidikan, bagi mengelak bakat tempatan lari ke luar negara.

Menterinya V Sivakumar berkata itu antara kaedah yang boleh dititikberatkan oleh majikan, agar bakat tempatan kekal dalam negara sekali gus mengelakkan mereka berhijrah ke negara lain untuk tawaran gaji yang lebih lumayan.

“Penawaran gaji merupakan salah satu kaedah, penentu tidak keluar ke negara,” katanya pada sidang media di Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2023.

Beliau berkata pekerja yang terlibat dalam bidang teknologi tinggi sememangnya mengharapkan gaji yang lumayan.

Sivakumar menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) sebelum ini yang membangkitkan isu kekurangan pekerja mahir dalam industri berteknologi tinggi.

Menurut Sim, bakat tempatan berhijrah ke negara jiran seperti singapura yang menawarkan gaji lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata majikan tidak boleh menganggap kadar gaji minimum RM1,500 sebagai gaji muktamad untuk pekerja.

“Saya yakin bahawa dalam jangka masa pertengahan dan masa panjang gaji yang ditetapkan oleh pasaran ini akan sedikit demi sedikit akan meningkat,” katanya.

Sementara itu, Sivakumar berkata agensi Kementerian Sumber Manusia, TalentCorp sedang berusaha membawa pulang pakar-pakar Malaysia di luar negara. Beliau akui bahawa jumlah mereka “agak besar”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.