
Ibu, Sabariah Rosek, 50, berkata kerana kemiskinan membelenggu, hanya anak sulungnya dapat meneruskan persekolahan, itu pun hasil belas ihsan individu.
Katanya, lapan anaknya sudah memiliki sijil kelahiran namun belum memiliki kad pengenalan, manakala baki anaknya lain tidak mempunyai sijil kelahiran.
Beberapa tahun lalu, dia dan suami, Hussin Sake, 64, mencuba pelbagai usaha memastikan anak sulungnya mendapatkan kad pengenalan, namun gagal berikutan khidmat ditawarkan “orang tengah” sangat tinggi.
“Selepas anak sulung gagal mendapat MyKad, saya dan suami berputus asa untuk meneruskan permohonan mendapatkan MyKad untuk yang anak lain. Tambahan, semuanya memerlukan duit sedangkan kami tidak mampu.
“Malah, akibat kesempitan hidup juga, hanya seorang anak sahaja yang bersekolah hasil belas ihsan individu, manakala anak yang lain terpaksa melupakan hasrat mereka untuk menimba ilmu,” katanya menurut Berita Harian.
Sabariah berkata, sebelum ini ada pihak yang memaklumkan mengenai cara mendapatkan kad pengenalan, namun ia sukar disebabkan tinggal di kawasan pedalaman, selain tidak mempunyai kenderaan.
“Saya sendiri tidak faham dan mengetahui prosedur sebenar serta tidak tahu hendak dirujuk kepada siapa.
“Saya berharap agar anak dapat memiliki MyKad demi masa depan mereka sebelum saya menutup mata. Saya juga merayu pada pihak terbabit supaya dapat membantu menyelesaikan masalah ini kerana saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.