Harga makanan kantin perlu dapat persetujuan sekolah, PIBG

Harga makanan kantin perlu dapat persetujuan sekolah, PIBG

Persatuan pengusaha kata harga mesti mematuhi sebut harga yang dipersetujui dalam tender kantin, dan dipantau pentadbir sekolah.

Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia seru dakwaan harga makanan mahal di kantin sekolah perlu dilihat secara terperinci. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dakwaan harga makanan mahal di kantin sekolah perlu dilihat secara terperinci kerana sebarang kenaikan perlu mendapat persetujuan pentadbir sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru, kata Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia.

Setiausaha Jazmi Hassan berkata menerangkan harga mesti mematuhi sebut harga yang dipersetujui dalam tender kantin, manakala pihak sekolah juga memantau harga jualan di kantin.

“Sebarang kenaikan tidak boleh dibuat sesuka hati,” katanya kepada FMT, menjelang sesi persekolahan baharu bermula minggu ini.

Menurut Jazmi, kebanyakan pengusaha terikat dengan kontrak tender selama dua tahun, dan sepanjang tempoh itu harga makanan tidak boleh diubah walaupun kos operasi meningkat.

“Kebiasaannya isu kenaikan harga hanya timbul selepas pertukaran tender baharu apabila pengusaha perlu menilai semula kos bahan mentah, bekalan dan operasi semasa sebelum menetapkan harga jualan,” katanya.

Jazmi berkata harga makanan di kantin sekolah ketika ini masih dalam lingkungan berpatutan, mengambil contoh nasi lemak biasa dijual pada sekitar RM1.50 hingga RM2.50 sepinggan manakala nasi goreng pula antara RM1 hingga RM2 sepinggan, bergantung pada sebut harga tender yang dipersetujui.

Dalam pada itu, Jazmi memaklumkan bahawa pengusaha tidak menerima subsidi bahan mentah, atau harga istimewa daripada pembekal.

“Masih ramai beranggapan pengusaha kantin sekolah menerima subsidi dan sebab itu boleh menjual murah, sedangkan hakikatnya harga belian barangan di pasaran hampir sama seperti berniaga di kafe atau restoran,” katanya.

Realiti itu memerlukan mereka merancang kos dengan teliti bagi memastikan operasi dapat diteruskan tanpa membebankan murid, katanya.

“Cabaran terbesar pengusaha ialah mendapatkan pembekal yang menawarkan harga lebih rendah, termasuk melalui promosi, selain perlu mendapatkan bekalan daripada pelbagai sumber dan tidak bergantung pada satu pembekal sahaja,” katanya.

Isu harga makanan di kantin sekolah sering menjadi perhatian setiap kali sesi persekolahan bermula, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang bimbang kos sara hidup yang meningkat memberi kesan kepada perbelanjaan harian anak.

Beberapa laporan media pernah membangkitkan kenaikan harga makanan di kantin sekolah susulan peningkatan kos bahan mentah, tenaga kerja dan operasi, sehingga mencetuskan kebimbangan sama ada murid mampu mendapatkan makanan berkhasiat pada harga berpatutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.