Tiada pilihan raya kecil DUN Batang Kali, kata SPR

Tiada pilihan raya kecil DUN Batang Kali, kata SPR

Keputusan itu dibuat selepas Speaker DUN Selangor, Ng Sue Lim memaklumkan SPR tiada keperluan pilihan raya kecil berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Kerusi Batang Kali diisytiharkan kosong selepas ADUNnya Harumaini Omar daripada Pejuang gagal hadir persidangan DUN selama enam bulan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka kerusi DUN Batang Kali.

Kerusi DUN tersebut diisytiharkan kosong di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, berkata keputusan itu dibuat selepas Speaker DUN Selangor, Ng Sue Lim memaklumkan kepada pihaknya tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Berdasarkan kepada Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Bab 5 Perkara LXX (5). YB Speaker DUN telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.

“Selaras dengan itu, tiada PRK Bahagian Pilihan Raya Negeri N.07 Batang Kali, Selangor akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Kerusi DUN Batang Kali diisytiharkan kosong selepas ADUNnya Harumaini Omar daripada Pejuang dilucutkan sebagai wakil rakyat.

Suee Lim berkata, perlucutan itu adalah perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 apabila Harumani tidak hadir tanpa kebenaran speaker pada persidangan DUN selama enam bulan.

Katanya, berdasarkan rekod Penyata Rasmi dan Buku Kehadiran mendapati, tarikh akhir Harumaini ke persidangan DUN adalah pada 27 Julai 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.