
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari selepas mengadakan pertemuan dengan menteri besar dan ketua menteri hari ini.
“Alhamdulillah kami berenam mengambil kesempatan minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang bersidang dua hari ini.
“Secara ringkas kami mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran DUN masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun 2023,” katanya di Facebook.
Katanya lagi, persefahaman ini sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Yang Dipertua Negeri masing-masing.
“Semoga persefahaman ini dapat mempermudahkan usaha rakyat untuk merayakan demokrasi kelak, insya Allah,” katanya.
Perbincangan itu dihadiri semua menteri besar dan ketua menteri iaitu Aminuddin Harun (Negeri Sembilan), Chow Kon Yeow (Pulau Pinang), Ahmad Yaakob (Kelantan), Amirudin Shari (Selangor), Sanusi Md Nor (Kedah) dan Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu).
Sebelum ini, Kon Yeow memaklumkan perbincangan bersama menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri itu bertujuan mendapat kata sepakat untuk menentukan tarikh sesuai membubarkan DUN masing-masing.
Enam negeri yang perlu mengadakan PRN tahun ini adalah Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpendapat PRN di enam negeri itu perlu dijalankan serentak bagi memudahkan penyelarasan tugas.
Sanusi pada 1 Feb lalu memberi bayangan DUN Kedah akan dibubarkan selepas 18 Jun ini, manakala Aminuddin dilaporkan berkata, DUN negeri itu akan dibubarkan 1 Jun ini untuk memberi laluan kepada PRN.