
Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, yang mencadangkan perkara itu berkata jemaah haji boleh memilih empat pakej – 14 hari, 21 hari, 30 hari atau 40 hari – bergantung kepada kedudukan kewangan dan pekerjaan mereka.
Ini kerana, katanya, jangka masa terlalu lama di Tanah Suci menyebabkan kos tinggi, sekali gus membebankan jumlah subsidi kerajaan serta perbelanjaan ditanggung jemaah.
“Rukun haji boleh dibuat dalam masa empat hari saja, kalau 14 hari ada masa lagi untuk ziarah ke Madinah, mengerjakan umrah, dan sebagainya.
“Jika ia dapat disingkatkan, saya percaya ramai yang mampu mengerjakan haji kerana kos mengerjakan haji akan berkurangan daripada sekarang.
“Kalau 14 hari mungkin satu pertiga saja daripada kos hari ini, jadi B40 lebih mudah untuk tunaikan haji,” katanya di Dewan Rakyat, sambil menambah kos menunaikan haji dijangka terus meningkat ekoran naik taraf penempatan jemaah di Tanah Suci.
Tambahnya, pakej itu juga memudahkan mereka yang bekerja di sektor swasta, selain tidak menjejaskan pendapatan peniaga mikro kerana perlu menutup perniagaan untuk tempoh lama.
“Peniaga mikro terpaksa tinggalkan perniagaan lebih 40 hari, ianya menyusahkan mereka dan menjejaskan pendapatan mereka dan kalau ada pilihan ini mereka boleh buat pilihan sesuai dengan pekerjaan mereka,” katanya.
Pada musim haji 2022, kerajaan menetapkan bayaran RM10,980 bagi kumpulan B40 dan RM12,980 bagi M40.
Selain itu, Ismail (BN-Bera) mencadangkan agar Akta Tabung Haji 1995 dikaji semula memandangkan undang-undang yang ada sudah terlalu lama dan tidak relevan dengan keadaan semasa.
“Dalam akta sekarang tiada peruntukan untuk patuh syariah dan tadbir urus diwartakan dalam akta sedia ada walaupun TH pada asasnya perlu patuh syariah,” katanya ia bagi memastikan dana TH sebanyak RM88 bilion dapat diurus dengan sempurna.