
Awesome TV dalam satu kenyataan mempertahankan laporan berita disiarkan pada 15 Feb lalu dengan mendakwa ia disalah tafsir dan dimanipulasi di media sosial sehingga mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Stesen televisyen itu menjelaskan laporan berkenaan dibuat susulan laporan diketengahkan oleh portal The Edge Markets di theedgemarkets.com bertajuk “Reducing Government Opex Warrants a Look Into Emoluments” pada tarikh sama.
Katanya, pihak Berita 757 menemui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam untuk memberi penjelasan berhubung paparan laporan berita itu, mengenai cadangan mengurangkan bilangan penjawat awam.
“Sesetengah pengamal media sosial memanipulasikan laporan Berita 757 terbabit dan mendapat reaksi menteri komunikasi dan digital yang mengeluarkan kenyataan bahawa Berita 757 membuat laporan palsu dan fitnah, kononnya kerajaan akan mengurangkan jumlah penjawat awam.
“Justeru, pihak Berita 757 dari Awesome TV sudah berjumpa SKMM hari ini (semalam) untuk memberi penjelasan mengenai isu yang kami percaya sudah disalah tafsirkan atau nasihat yang salah diberikan kepada menteri,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, keadaan menjadi rumit apabila menteri terpengaruh dengan beberapa pengamal media sosial tidak bertanggungjawab yang memanipulasikan berita berkenaan.
Ini termasuk Lokman Adam yang mengeluarkan kenyataan palsu mengaitkan Awesome TV dengan Astro dan Dr Mahathir Mohamad. Kenyataan itu menegaskan ini tidak benar sama sekali, dan Awesome TV tiada sebarang kaitan dengan Astro atau mana-mana parti politik.
“Kita menolak sekeras-kerasnya kenyataan Lokman yang cuba mengaitkan berita ini dengan isu sentimen perkauman. Ini adalah suatu provokasi.
“Berita 757 mempertahankan laporan yang dibuat pada 15 Februari lalu yang tidak ada kepentingan selain daripada memainkan peranan berita yang telus dan tulus demi kepentingan negara,” katanya.
Difahamkan isu tercetus apabila Berita 757 didakwa melaporkan bahawa pemerhati mencadangkan supaya perdana menteri menilai dan menstruktur semula jumlah kakitangan awam dari 1.6 juta kepada 800,000, kerana jumlah perbelanjaan tahunan penjawat awam yang mencapai nilai tinggi iaitu RM114.9 bilion.
Terbaru SKMM berkata akan membuka kertas siasatan terhadap saluran televisyen swasta itu, berkaitan laporan berkenaan.
SKMM dalam kenyataan, hari ini, berkata siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, iaitu kegagalan mematuhi syarat lesen.
Semalam, media melaporkan Fahmi berkata, Awesome TV didapati menerbitkan kandungan berita yang melanggar peraturan enam kali, termasuk fitnah terhadap kerajaan.