Hanya SPR boleh isytihar kerusi kosong, kata bekas pegawai

Hanya SPR boleh isytihar kerusi kosong, kata bekas pegawai

Peranan Speaker hanya memaklumkan kepada SPR tentang kerusi yang dianggap kosong, kata Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad Wan Omar berkata, kes melibatkan Harumaini Omar mesti ‘ditafsir dengan tepat’ dalam konteks undang-undang dan undang-undang tubuh negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan hanya badan itu sahaja berkuasa mengisytiharkan kekosongan kerusi.

Pada Khamis, Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim mengumumkan kerusi Batang Kali kosong selepas penyandangnya daripada Pejuang, Harumaini Omar, gagal hadir ke sidang DUN lebih enam bulan, sejak 28 Jul tahun lepas.

Harumaini bagaimanapun menuntut Ng menarik semula kenyataannya dan menyatakan Speaker tidak mempunyai hak mengisytiharkan kekosongan kerusi. Perkara itu prerogatif SPR, seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Bercakap kepada FMT, Wan Ahmad Wan Omar, yang menjadi timbalan pengerusi SPR dari 2004 hingga 2013, berkata Speaker tidak mempunyai kuasa mengisytiharkan kekosongan kerusi.

“Tindakan Speaker tepat, memaklumkan kepada SPR berhubung kerusi yang dikatakan kosong itu, namun bukan (peranan) Speaker mengisytiharkan kekosongannya.

“Itu (peranan) SPR, selepas mendapat semua fakta berhubung perkara berkenaan,” katanya.

“Apa sahaja berkaitan pengisytiharan kekosongan kerusi, kuasa itu milik SPR. Itu tanggungjawab SPR, bukan pihak lain.

“Hanya SPR sahaja boleh secara rasmi mengisytiharkan kekosongan kerusi, dan seterusnya menentukan tarikh kekosongan termasuk tarikh untuk mengadakan pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan tersebut.”

Bagaimanapun, kata Wan Ahmad, berbeza sekiranya kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya, penyandang hilang kelayakan mengikut undang-undang, diisytihar bankrap, atau disabit bersalah atas kesalahan jenayah dengan denda melebihi RM2,000, atau setahun penjara.

Katanya, kes melibatkan Harumaini mesti “ditafsir dengan tepat” dalam konteks undang-undang dan undang-undang tubuh negeri.

Wan Ahmad menambah, beliau menganggap Ng sudah merujuk perkara itu kepada penasihat undang-undang negeri sebelum membuat pengumuman.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Harumaini berkata, Seksyen 12(3) Akta Pilihan Raya 1958 menetapkan kerusi DUN hanya boleh diisytiharkan kosong oleh SPR.

Tambahnya, beliau hanya terlepas Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima DUN Selangor Ke-14, bermula 23 Nov 2022. Harumaini turut menyatakan, pengiraan tempoh enam bulan hanya bermula dari 23 Nov 2022 dan berakhir 22 Mei 2023.

Katanya, beliau memberi tempoh tiga hari kepada Ng untuk menjawab, sebelum mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadapnya.

FMT telah cuba mendapatkan ulasan lanjut daripada Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.