
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu berkata, pertemuan menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri itu bertujuan mendapat kata sepakat untuk menentukan tarikh sesuai membubarkan DUN masing-masing.
“Mesyuarat akan diadakan minggu depan dengan Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari) yang mengambil inisiatif menganjurkan perjumpaan terbabit.
“Tempoh (pembubaran DUN) semakin hampir. Jika tiada perjumpaan itu sekalipun, pilihan raya negeri (PRN) akan tetap diadakan dan mungkin sesuai berlangsung Jun atau Julai,” katanya menurut Harian Metro.
Chow berkata, pemimpin PH negeri yang bermesyuarat sebelum ini bersetuju Jun masa terbaik mengadakan PRN kerana tempoh singkat untuk membubarkan DUN.
Enam negeri yang perlu mengadakan PRN tahun ini adalah Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpendapat PRN di enam negeri itu perlu dijalankan serentak bagi memudahkan penyelarasan tugas.
Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor pada 1 Feb lalu memberi bayangan DUN Kedah akan dibubarkan selepas 18 Jun ini, manakala Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dilaporkan berkata, DUN negeri itu akan dibubarkan 1 Jun ini untuk memberi laluan kepada PRN.