
“Saya bingung dengan keputusan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman,” katanya di Twitter.
Pada Rabu, Azalina berkata, Apandi dan Jabatan Peguam Negara telah bersetuju untuk tidak mendedahkan syarat penyelesaian itu, yang diklasifikasikan sebagai rahsia bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Mahathir berkata, Apandi, yang berkhidmat sebagai peguam negara bawah pentadbiran Najib Razak, telah membuat tuntutannya secara terbuka.
“Malah beliau menyatakan jumlahnya sebanyak RM2,233,599.36. Namun, pampasan yang diberikan oleh kerajaan adalah rahsia. Kenapa?”
Tambahnya, beliau mempunyai sebab untuk tahu kerana percaya Apandi tidak layak mendapat pampasan sama sekali.
Azalina menjawab pertanyaan bertulis Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran, yang meminta perdana menteri mendedahkan jumlah yang dibayar kepada Apandi berikutan penyelesaian luar mahkamah yang dicapai.
Apandi memfailkan saman pada September 2020, memohon deklarasi bahawa penamatan perkhidmatannya sebagai peguam negara oleh Mahathir pada 2018 menyalahi undang-undang. Pada April tahun lepas, Apandi menyelesaikan samannya terhadap kerajaan dan Mahathir.
Peguam Apandi, Baljit Singh Sidhu, berkata pada masa itu mereka tidak boleh mendedahkan syarat penyelesaian.
Bagaimanapun, Mahathir kemudiannya meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap syarat penyelesaian yang dirahsiakan itu, dengan berkata beliau “terkejut” syarat-syarat tersebut disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Apandi, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015. Kontraknya sepatutnya tamat pada 26 Julai 2018.
Beliau berkata, sebelum PRU14 pada Mei 2018, ketua setiausaha negara ketika itu Ali Hamsa telah memaklumkan kepadanya dalam surat bahawa tempoh perkhidmatannya akan dilanjutkan selama tiga tahun.
Bagaimanapun, dalam surat berikutnya bertarikh 5 Jun 2018, Ali memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan penamatan perkhidmatannya walaupun tiada dokumen sokongan dilampirkan berhubung perkenan diraja itu.
Kerajaan berkata, Mahathir tidak memainkan apa-apa peranan dalam penamatan perkhidmatan Apandi dan penamatan kontrak itu dilakukan mengikut undang-undang.