
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata hasil operasi pencarian berjaya menahan semula 461 orang membabitkan 331 dewasa dan 130 kanak-kanak.
Sementara enam lagi tahanan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya semasa melarikan diri, katanya.
“Semua tahanan yang dapat dikesan dan dijumpai semula dalam insiden tersebut dipindahkan ke depot imigresen lain.
“Usaha untuk mengesan seramai 61 orang tahanan masih diteruskan sehingga sekarang,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen, menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera).
Media sebelum ini melaporkan 528 tahanan etnik Rohingya di pusat tahanan sementara itu melarikan diri kira-kira 4 pagi, selepas merusuh dengan memecahkan pintu blok dan gril penghadang.
Tambah Saifuddin, polis melengkapkan laporan siasatan kes rusuhan dan semua tahanan terlibat akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.