
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima manfaat subsidi akibat kegagalan cip MyKad ketika melakukan pengesahan di stesen minyak.
“Kerajaan Madani prihatin dan akan menanggung sepenuhnya kos penggantian dalam tempoh ini, supaya akses rakyat kepada subsidi BUDI95 tidak akan terjejas hanya kerana isu teknikal pada MyKad,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan dijangka membelanjakan RM714,660 bagi inisiatif penggantian percuma MyKad itu termasuk kos berkaitan.
Katanya, penukaran boleh dibuat di mana-mana kaunter atau pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara.
Sementara itu, Saifuddin memaklumkan JPN menerima sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad bawah kategori cip atau kad rosak bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.
“Trend permohonan menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan ini iaitu Jun (32,819 permohonan); Julai (40,371); Ogos (45,411) manakala setakat 21 Sept sebanyak 22,858 permohonan.
“Berdasarkan purata dua bulan terkini, sekitar 43,000 penggantian cip rosak direkodkan setiap bulan,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat memastikan kad pengenalan masing-masing berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada urusan rasmi termasuk akses bantuan kerajaan.
Menurutnya, kerajaan Madani komited kepada prinsip kepedulian dan inklusiviti, memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima manfaat dijanjikan.
“Ini bukan sahaja soal pengenalan diri, tetapi MyKad kini menjadi kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan, termasuk subsidi bersasar BUDI95.”
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengumumkan harga petrol RON95 akan dikurangkan kepada RM1.99 seliter mulai 30 Sept bawah program BUDI95.
Beliau berkata, semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi itu dengan pengesahan dibuat menggunakan MyKad, mekanisme sama penyaluran bantuan seperti SARA.