Datang jumpa saya, Zaliha beritahu pekerja kesihatan rancang mogok

Datang jumpa saya, Zaliha beritahu pekerja kesihatan rancang mogok

Menteri kesihatan turut meminta pihak yang ingin mengadakan mogok berfikir lebih matang kerana tindakan itu tidak menyelesaikan masalah.

Dr Zaliha Mustafa minta diberikan sedikit masa untuk memahami masalah berlaku bagi membolehkan jalan penyelesaian terbaik dicari. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengajak pekerja kesihatan yang dikatakan mahu mengadakan mogok kerana kecewa dengan sistem kesihatan bertemu untuk membincangkan masalah itu.

Beliau turut meminta semua yang terlibat berfikir dengan matang kerana tindakan ingin mereka ambil tidak akan menyelesaikan masalah.

“Boleh datang berjumpa saya, berhubung dengan pegawai saya dan Insya-Allah kita bersemuka, akhirnya kita sama-sama dapat menyelesaikan masalah ini.

“…dan semuanya akan dapat kebaikan daripada perkara ini,” katanya di TikTok.

Ahli Parlimen Sekijang itu minta diberikan sedikit masa untuk memahami masalah berlaku bagi membolehkan jalan penyelesaian terbaik dicari.

Katanya, latar belakangnya sebagai doktor perubatan akan membolehkannya memahami masalah dihadapi pekerja kesihatan.

“Kalau boleh hari ini juga saya selesaikan tapi kita kena faham ini memerlukan sedikit masa untuk saya memahami perkara ini dengan lebih dalam dan sebaik-baiknya supaya penyelesaian terbaik dapat kita laksanakan,” katanya.

Terdahulu, jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Muhammad Yassin, menyatakan kesediaan pihaknya mengadakan mogok sekali lagi jika Kementerian Kesihatan tidak memberikan apa-apa jawapan dalam menangani isu berkaitan sistem kesihatan.

Beliau berkata, gerakan itu memberi tempoh tiga bulan kepada kementerian sebelum mogok dirancang untuk dilakukan secara besar-besaran.

Pada 26 Julai 2021, sekumpulan doktor kontrak di beberapa hospital utama melaksanakan “walk-out” sebagai sebahagian daripada Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi menuntut laluan kerjaya yang adil dan faedah sama seperti doktor berjawatan tetap.

Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mengambil serius sentimen pekerja kesihatan yang dikatakan mahu mengadakan mogok berikutan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan.

Presiden Dr Muruga Raj Rajathurai berkata biarpun tidak bersetuju dengan tindakan mogok itu, pihaknya memahami kekecewaan petugas berkenaan yang mahu suara mereka didengari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.