
“Kita belanjakan dalam purata 20% KDNK per kapita bagi tujuan peruntukan pendidikan, di Singapura mereka hanya membelanjakan 11%, di Jepun hanya 7%.
“Maksudnya, perbelanjaan pendidikan anak Malaysia itu tiga kali ganda lebih tinggi daripada Jepun dan dua kali ganda berbanding Singapura.
“Per kapita maksudnya setiap individu, tetapi walaupun demikian, kenapa pengeluaran pendidikan kita makin terbelakang,” katanya ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, sistem pendidikan negara di tahap mencemaskan dan memerlukan perhatian semua parti, bukan saja kerajaan, tetapi juga pembangkang.
Katanya, antara isu yang perlu diberikan penekanan adalah tekanan beban kerja guru, tempoh lama menamatkan pengajian tinggi, sekolah daif, masalah infrastruktur di kawasan pedalaman dan kurang keyakinan ibu bapa terhadap pendidikan sekolah kebangsaan.
“Saya tidak mahu sistem ini dijadikan ‘new’ normal, di mana hanya apabila sesuatu isu itu ditularkan, barulah ada tindakan menyeluruh diambil untuk memastikan sekolah daif, infrastruktur asas untuk sekolah daif itu diperbaiki sepenuhnya.”
Justeru, beliau menggesa perubahan dasar dimulakan dengan meneliti semula sukatan pelajaran sedia ada, masalah infrastruktur dan beban kerja guru.